Home Semasa SUHAKAM harap tiada lagi kanak-kanak di depot imigresen

SUHAKAM harap tiada lagi kanak-kanak di depot imigresen

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berharap, pihak berkuasa akan terus memastikan tiada lagi kanak-kanak ditempatkan di pusat tahanan atau depot imigresen selepas ini.

Pengerusi SUHAKAM, Datuk Dr. Rahmat Mohamad berkata, ia selaras dengan saranan SUHAKAM kepada kerajaan bagi melaksanakan Alternatif Kepada Tahanan (ATD) untuk kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas, pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang menyatakan bahawa pihaknya dalam usaha membawa keluar kanak-kanak yang berada di depot tahanan sementara Imigresen di seluruh negara.

Jelasnya, kanak-kanak itu akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang khusus dalam penjagaan kanak-kanak.

“Keputusan itu selaras dengan saranan SUHAKAM kepada kerajaan untuk melaksanakan Alternatif kepada Tahanan (ATD) bagi kanak-kanak di depot imigresen,

“SUHAKAM berharap dengan pengumuman ini, pihak penguatkuasa akan memastikan bahawa kanak-kanak tidak akan ditempatkan di depot imigresen lagi selepas ini,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, beliau turut berkata, adalah amat penting untuk kanak-kanak berkenaan tidak mengalami trauma atau menghadapi bahaya semasa proses pemindahan.

Sebagai penandatangan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak, Rahmat berkata, Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan penahanan kanak-kanak adalah sebagai langkah terakhir, terutamanya apabila mereka ditahan bersama ibu bapa atau penjaga mereka kerana kesalahan imigresen.

SUHAKAM juga, katanya secara konsisten menyuarakan kebimbangan mengenai penahanan kanak-kanak di depot tahanan imigresen, di mana pihak berkuasa perlu memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak itu terpelihara.

“SUHAKAM akan terus memantau pelaksanaan ATD serta menyokong hak dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia,

“SUHAKAM juga berharap kerajaan akan terus konsisten dalam menegakkan kesejahteraan kanak-kanak tanpa mengira status imigresen mereka,” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Saifuddin mengumumkan bahawa kementeriannya akan mengeluarkan kanak-kanak yang ditahan di depoh imigresen dalam masa terdekat dan menempatkan mereka di bawah jagaan NGO yang khusus menjaga kebajikan kumpulan berkenaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply