KUANTAN, 9 Sept – 2 buah bot nelayan asing bersama 2 tekong serta 26 kru Vietnam yang menceroboh perairan Pahang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang dalam Op Kuda Laut, pada Isnin.
Kedua-dua bot yang cuba melepaskan diri itu berjaya ditahan oleh APMM pada kedudukan lebih kurang 33 batu nautika timur laut dari Pulau Tioman pada jam 2.30 petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud, berkata kedua-dua bot berkenaan dengan nombor pendaftaran TG 98555 TS dan TG 95556 TS bertindak cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kapal ronda Maritim Malaysia, namun cubaan itu berjaya digagalkan.
Beliau berkata, kesemua tekong dan kru yang ditahan adalah warga Vietnam yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 17 hingga 50 tahun.
“Berdasarkan nombor pendaftaran, bot-bot berkenaan dipercayai adalah bot nelayan asing Vietnam. Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot menemui muatan sejumlah 3 tan hasil laut serta bekalan diesel sebanyak 3000 liter,
“Keseluruhan barang rampasan termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel dianggarkan bernilai hampir RM2 juta,” katanya didalam hantaran Facebook APMM.
Amran berkata bot dibawa ke Pos Maritim Tg. Gemok dan kesemua kru ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 16(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah. Kesemua yang ditahan telah menjalani saringan Covid 19”, katanya lagi.
Pada masa yang sama, Amran menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama dan dapat membantu kesalahan jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345. – airtimes.my