Home Semasa Laporan Sarawak Report satu pembohongan dan berniat jahat terhadap Muhyiddin

Laporan Sarawak Report satu pembohongan dan berniat jahat terhadap Muhyiddin

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 16 Jun – Tuduhan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar perintah kuarantin di rumah dengan pergi ke luar negara oleh portal Sarawak Report adalah satu pembohongan dan berniat jahat.

Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam kenyataan berkata, penulis dan portal berkenaan perlu bertanggungjawab ke atas tuduhan yang dilemparkan kepada Muhyiddin dengan mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat yang dinaiki ke Singapura.

“Selain itu, Sarawak Report juga perlu menamakan hospital di Singapura dan doktor seperti yang didakwa,

“Kegagalan berbuat demikian bermakna laporan yang disiarkan oleh portal itu adalah berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej Perdana Menteri,

“Amat malang apabila portal berita itu kini berubah menjadi perkakas politik bagi menjaja dan menyebarkan fitnah melalui laporan yang tidak berpaksikan kebenaran,” kata PMO dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Muhyiddin menjalani perintah berkurung di rumah selama 14 hari bermula 22 Mei lepas adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selepas seorang daripada pegawai yang hadir mesyuarat pasca-Kabinet dipengerusikannya disahkan positif COVID-19.

“Semasa menjalani tempoh kuarantin, Perdana Menteri sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah. Semua tugasan rasmi hanya dijalankan dari rumah termasuk mengadakan sidang video dengan Menteri Kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan,

“Justeru dakwaan Sarawak Report bahawa Perdana Menteri melanggar perintah kuarantin dengan keluar rumah, apatah lagi terbang ke luar negara adalah sama sekali tidak berasas dan hanya rekaan penulis,” tambah kenyataan itu.

Tambah PMO, fitnah seperti ini merupakan satu gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelumnya.

“Mengenai tahap kesihatan Perdana Menteri, seperti yang telah dilaporkan media sebelum ini, beberapa pakar perubatan telah pun mengesahkan bahawa beliau kini bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri,” tegasnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply