Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Indonesia dan Bangladesh komited perkukuh hubungan pertahanan

Malaysia, Indonesia dan Bangladesh komited perkukuh hubungan pertahanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Malaysia, Indonesia dan Bangladesh komited untuk mempertingkat hubungan pertahanan dua hala dan menekankan pentingnya memperluas kerjasama sedia ada demi kepentingan bersama.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, kerjasama pertahanan yang sedia ada akan diteruskan meskipun dunia berdepan dengan situasi penularan wabak pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan tersebut, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya daripada Indonesia, Prabowo Subianto telah mengadakan sidang video pada 4.30 petang Selasa, dengan kedua-dua menteri memperakui hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

“Perbincangan yang terbuka merangkumi topik yang luas antara kedua-dua Menteri mencerminkan keakraban kedua-dua negara,

“Ini kerana kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia telah lama terjalin dan terus berkembang melalui Jawatankuasa Am Persempadanan yang telah ditubuhkan pada tahun 1972,

“Hubungan pertahanan ini turut diperkukuhkan melalui beberapa inisiatif keselamatan sub-rantau seperti Malacca Straits Patrol (MSP) dan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan Filipina,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Md Shahidul Islam.

“Antara perkara dibincangkan pada pertemuan itu adalah mengenai usaha untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta isu berkaitan kebimbangan bersama seperti isu berkaitan penularan COVID-19, termasuk penghantaran pulang migran tanpa dokumen daripada Bangladesh,” menurut kenyataan itu.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply