Home Semasa Eric Paulsen tidak lagi jadi ahli MPKM – KKMM

Eric Paulsen tidak lagi jadi ahli MPKM – KKMM

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 16 Jun – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memaklumkan peguam Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

KKMM dalam satu kenyataan media berkata, keputusan tersebut tidak akan menjejaskan fungsi MPKM yang telah ditubuhkan pada 9 Jun 2020.

“MPKM akan terus berperanan membincang dan menasihati kementerian dalam pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia selaras dengan matlamat KKMM,” kata kenyataan itu.

Pelantikan Eric sebelum ini telah dipersoalkan oleh beberapa pihak termasuk pemimpin politik dari UMNO, PAS dan Bersatu kerana beliau terkenal dengan sikap dan pandangan yang sangat sinis terhadap Islam dan perkara berkaitan hal ehwal Islam.

MPKM menggabung jalinkan wakil-wakil daripada tiga sektor iaitu kerajaan, perniagaan (swasta) dan masyarakat sivil yang dianggotai oleh 15 ahli termasuk tiga dari KKMM iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah sebagai pengerusi, timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai timbalan pengerusi dan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad.

Ahli MPKM lain ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Dr Awang Sariyan; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Tokoh Wartawan Negara 2019 Tan Sri Johan Jaafar; bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Prof Emerita Datuk Dr Mazlan Othman; dan Pengerusi UEM Sunrise Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Turut menganggotai MPKM ialah Pengarah Program Third World Network Chee Yoke Ling; Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Danny Lee; Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Paul Selvarajah; dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Kavita Mahendran.

Ahli lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Tany Kiob@ Anthony Kiob; Wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Eric Paulsen; dan pakar pembangunan start-up Mohd Razin Muhammad. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply