MARAN, 14 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah berjaya membantu penduduk di Kampung Lechar, Raub dan Kampung Belimbing, Maran dengan membina 2 jambatan Compact Bailey 200 dalam tempoh 2 minggu yang terjejas akibat bencana banjir.
Panglima 4 Bgd (Mek), Brigedier Jeneral Zaidan Atan berkata TDM berasa bangga dengan capaian dan kepakaran anggota 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) kerana dapat membina 2 jambatan dalam masa yang singkat.

Operasi pembinaan jambatan Compact Bailey 200 di Kampung Belimbing, Maran merupakan yang kedua dilakukan selepas kejayaan membina jambatan yang sama di Ulu Dong, Raub.
“Saya bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga TDM khasnya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Pahang, Majlis Daerah negeri Pahang dan juga kerajaan negeri Pahang,
“Usaha sama kesemua anggota 91 RAJD dan agensi yang terlibat amat berkesan dalam membantu rakyat negeri Pahang dalam menghadapi bencana banjir pada tahun ini,” katanya kepada Air Times selepas beliau mengetatkan skru terakhir jambatan sebagai simbolik sebagai tanda selesainya pembinaan jambatan Compact Bailey 200 oleh 91 RAJD, pada Rabu.
Dalam pada itu, Zaidan menjelaskan, ATM akan meneruskan latihan bersama dengan NADMA dalam membuat persiapan bagi mempercepatkan lagi bantuan yang diusahakan.
“Selepas berjaya membuat 2 jambatan ini, saya percaya pucuk pimpinan ATM dan NADMA akan membuat latihan bersama secara berterusan,” ujarnya.
TDM telah mengerahkan 91 RAJD dan 2 Skuadron RAJD untuk membina jambatan sementara kali kedua ini di Kampung Belimbing, Maran.
Proses pembinaan jambatan ini telah mula dilaksanakan sejak 12 Januari lalu bagi menghubungkan semula 13 lokasi terjejas iaitu Kampung Serengkam, Sri Makmur dan Sri Jaya akibat jambatan runtuh disebabkan hakisan tanah semasa bencana banjir.
Pembinaan jambatan ini melibatkan seramai kira-kira 115 pegawai dan anggota TDM yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 91 RAJD, Kolonel Muhammad Zamri Musa. – airtimes.my
Galeri Gambar: