KUALA LUMPUR, 10 MAC – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan komitmennya memelihara integriti pasukan melalui mekanisme pelaporan salah laku yang jelas, selamat dan berstruktur bagi setiap pegawai dan anggota.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sistem tersebut memastikan sebarang salah laku termasuk melibatkan pegawai atasan, boleh dilaporkan melalui saluran rasmi tanpa rasa takut.
Menurut beliau, mekanisme itu berasaskan Perintah Am Angkatan Tentera (PAAT) Bil. 1 Tahun 2020 mengenai Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat, selaras dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711]
“Warga ATM boleh menyalurkan aduan melalui saluran dalaman rasmi seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam ATM (SISPAA), Bahagian Inspektorat Jeneral ATM, sel integriti perkhidmatan, atau pegawai penerima aduan yang dilantik khusus,” kata Adly dalam jawapan lisan di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian, bagi menjawab soalan Senator Dr Jufitri Joha mengenai saluran aduan serta perlindungan kepada pemberi maklumat dalam kalangan anggota tentera.
Bagi kes melibatkan jenayah rasuah, Adly menjelaskan, aduan juga boleh dirujuk kepada Unit Integriti Kementerian Pertahanan atau terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Semua saluran ini memastikan setiap laporan diterima, dinilai, dan disiasat oleh pihak berwibawa tanpa mengira pangkat individu yang dilaporkan,” katanya.
Pada masa sama, ATM memberi perlindungan menyeluruh kepada pemberi maklumat yang bertindak dengan niat ikhlas. Identiti mereka dijamin rahsia dan tidak akan didedahkan tanpa alasan sah di sisi undang-undang.
“Pemberi maklumat dilindungi daripada sebarang tindakan balas, termasuk ugutan, tekanan, gangguan tugas, diskriminasi perkhidmatan, atau tindakan tatatertib yang tidak berasas,” jelasnya.
Tambah beliau, mana-mana pihak yang melakukan tindakan balas terhadap pemberi maklumat boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Setiap aduan akan dinilai secara profesional dan bebas. Jika terbukti melibatkan kesalahan tatatertib atau jenayah, tindakan tegas akan diambil termasuk rujukan kepada agensi penguatkuasaan.
Namun, perlindungan tidak diberikan sekiranya laporan dibuat secara palsu atau berniat jahat.
Pendekatan ini memastikan anggota yang tampil menegakkan integriti tidak dipinggirkan, selain memastikan penyalahgunaan kuasa dapat ditangani secara telus, tegas dan berintegriti demi memelihara kredibiliti dan profesionalisme ATM di mata rakyat. -airtimes.my
