KUALA LUMPUR, 28 JAN – Dalam usaha agresif untuk memastikan tiada lagi kegelinciran jadual berlaku, pihak kontraktor pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS), LUNAS, kini melaksanakan operasi kerja tanpa henti selama 24 jam sehari. Langkah drastik ini diambil sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan projek bagi memastikan kapal pertama (LCS 1) dapat diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Disember tahun ini.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mendedahkan perkara tersebut di Dewan Rakyat hari ini sebagai respons kepada kebimbangan mengenai keupayaan kontraktor mengejar tarikh akhir baharu setelah berlaku kelewatan empat bulan daripada jadual asal Ogos 2026.
Beliau menjelaskan bahawa komitmen tersebut telah dinyatakan secara rasmi oleh pihak LUNAS bagi menebus masa yang hilang akibat isu rantaian bekalan dan kerja-kerja pembaikan teknikal.
“LUNAS telah nyatakan bahawa mereka akan membina kapal itu sepanjang 24 jam dengan menyediakan pembahagian kerja secara tiga shift. Maknanya supaya apa yang telah dia janjikan, ianya dapat dilaksanakan,” kata Mohamed Khaled dengan tegas semasa menjawab soalan tambahan.
Bagi memastikan pelaksanaan kerja tiga syif ini benar-benar berkesan, Kementerian Pertahanan telah mengubah mekanisme pemantauan projek secara radikal. Menteri Pertahanan memaklumkan bahawa kekerapan mesyuarat pemantauan kini ditingkatkan secara mendadak.
“Pada masa yang sama, kita akan mesyuarat pemantauan akan dilakukan secara bulanan. Kalau dahulu ianya diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun, sekarang ni akan dibuat secara bulanan mesyuarat pemantauan,” jelas beliau lagi.
Kementerian Pertahanan juga telah mengarahkan LUNAS untuk mengemukakan pelan pemulihan projek yang komprehensif kepada Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC). Langkah ini kritikal memandangkan terdapat kerja-kerja fizikal yang besar perlu diselesaikan segera, termasuk pemasangan semula 4,000 unit paip dan sistem kabel susulan teguran audit daripada Naval Group.
Mohamed Khaled menegaskan bahawa segala usaha ini digerakkan dengan satu matlamat utama, iaitu memastikan apabila tarikh Disember 2026 tiba, kapal tersebut benar-benar bersedia untuk diserahkan dalam keadaan selamat dan sempurna.
“Supaya bila dinyatakan Disember ini betul-betul boleh diserahkan, maka kita nak pastikan betul-betul dia boleh serahkan dalam bulan Disember pada akhir tahun ini,” tambah beliau. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #MINDEF #LUNAS #LCS #Malaysia



