KUALA LUMPUR, 26 Jan – Kapal tempur pesisir pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maharaja Lela, kini sedang menjalani persiapan akhir sebelum diuji di laut melalui proses Sea Acceptance Test (SAT).
Ini seperti yang didedahkan dalam perkongsian video terbaru oleh pihak LUNAS.
Berdasarkan rakaman video yang dikongsikan laman Facebook LUNAS, kapal LCS pertama itu kelihatan sedang ditunda dari limbungan menandakan persiapan untuk ujian pelayaran yang penting ini.
Bagaimana pun, pihak LUNAS tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung ujian laut tersebut.
Meskipun kapal itu semakin hampir untuk menjalani pelayaran, beberapa bahagian kapal KD Maharaja Lela dilihat masih dalam fasa penyiapan.
Antaranya keadaan geladak pendaratan helikopter yang kelihatan seperti belum siap sepenuhnya, begitu juga dengan bentuk struktur pada bahagian dalam kapal.
Ini juga menimbulkan tanda tanya mengenai tahap kesiapsiagaan kapal sebelum ujian yang dijadualkan.
Selain itu, sistem persenjataan kapal juga didapati masih tidak lengkap.
Hanya meriam utama kapal yang telah dipasang manakala sistem persenjataan utama seperti peluru berpandu antikapal, peluru berpandu pertahanan udara, dan torpedo masih tidak kelihatan.
Berdasarkan spesifikasi asal, KD Maharaja Lela sepatutnya dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lengkap bagi memenuhi peranan utama kapal tersebut sebagai kapal tempur pesisir TLDM.
Selain meriam utama, persenjataan lain termasuk sistem peluru berpandu antikapal, sistem pertahanan udara dan torpedo.
Ujian laut ini sebenarnya telah melepasi tarikh yang dijadualkan sebelumnya.
Menurut kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin tahun lalu, ujian laut sepatutnya dilakukan pada Disember.
Bagaimana pun, tiada penjelasan rasmi diberikan oleh pihak Lunas mengenai kelewatan tersebut.
KD Maharaja Lela adalah kapal pertama daripada lima kapal LCS yang dirancang untuk dimiliki TLDM dalam usaha memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara di perairan pesisir.
Proses pembangunan kapal ini telah berdepan dengan beberapa cabaran sejak dari awal, termasuk isu kelewatan dan masalah teknikal.
Semua pihak menantikan keputusan daripada ujian tersebut bagi memastikan kapal ini dapat beroperasi dengan cekap dan dapat melaksanakan tugasnya sebagai kapal tempur pesisir yang efisien. – airtimes.my
