Berada di tengah-tengah kawasan strategik Asia Tenggara, negara jiran Indonesia telah mempamerkan komitmen yang serius terhadap pemodenan aset ketenteraan, khususnya kuasa udara.
Ini diterjemahkan apabila angkatan udaranya telah menerima tiga pesawat pejuang Dassault Rafale buatan Perancis sebagai sebahagian daripada perjanjian bernilai berbilion dolar.
Tiga pesawat berkenaan tiba di Pangkalan TNI-AU Roesmin Nurjadin, Pekanbaru, Sumatera.
Jelas, ketibaan pesawat Rafale ini adalah sebahagian penting daripada pemodenan peralatan pertahanan TNI-AU.
Indonesia telah memeterai perolehan bernilai AS$8.1 bilion yang dipersetujui pada tahun 2022 oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Prabowo Subianto untuk membeli 42 pesawat pejuang Rafale.
Pada tahun sama, kerajaan Malaysia dan MINDEF pula terus menaruh harapan terhadap tawaran pesawat F/A-18C/D Hornet terpakai dari Kuwait sebagai sebahagian daripada pelan perancangan strategik CAP55.
Langkah ini bertujuan meningkatkan keupayaan pesawat MRCA meskipun projek tersebut menghadapi isu garis masa tidak menentu dan bergantung pada penghantaran pesawat baharu Super Hornet ke Kuwait.
Setelah program MRCA negara yang sepatutnya menyaksikan pilihan sama ada Dassault Rafale atau Eurofighter Typhoon ditangguhkan, MINDEF terus bergelut untuk mengisi kekosongan tersebut.

Rafale merupakan jet pejuang yang dihasilkan oleh pihak Dassault Rafale. Pesawat yang diterima oleh TNI-Au merupakan standard GR.4. /Gambar: Dassault Aviation
Daripada sudut strategik, kemasukan pesawat Rafale ini menekankan satu mesej jelas iaitu Jakarta tidak hanya berniat untuk memerhati peralihan kuasa serantau.
Sebaliknya, ia turut terlibat secara aktif membentuknya melalui kekuatan udara yang boleh dipercayai, moden dan berdaya tahan.
Pembelian 42 buah pesawat Rafale yang dijangka tiba secara berperingkat-peringkat juga meletakkan Indonesia sebagai salah satu pengguna terbesar pesawat tersebut di Asia.
Impak utama adalah ia secara langsung memberi mereka kedudukan strategik yang lebih kuat di rantau ini.
Selain Rafale, Indonesia merancang untuk membeli lebih banyak pesawat tempur canggih dari negara lain termasuk pesawat Kaan dari Türkiye, F-15EX dari Amerika Syarikat dan J-10 buatan China.
Ini semua adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara, terutama di kawasan perairan yang semakin tercabar.

Perolehan jet pejuang Dassault Rafale dilihat sebagai lonjakan kuasa udara kepada Indonesia. /Gambar: Dassault Aviation
Dalam konteks ini, satu perkara yang jelas ialah Indonesia bukan sahaja bertindak balas terhadap ancaman serantau tetapi juga sedang meletakkan dirinya sebagai pemain utama dalam menjaga kestabilan kawasan lautan dan udara yang strategik di Asia Tenggara.
Tidak timbul berlaku perlumbaan senjata serantau kerana pada akhirnya tanggungjawab memiliki ketenteraan yang kuat terletak pada negara masing-masing.
Indonesia melihat perairan Laut China Selatan dan kawasan sekitarnya sebagai kawasan yang penting dan berisiko dengan pelbagai negara besar seperti China dan Amerika Syarikat.
Di sini kita melihat kepimpinan Indonesia, terutamanya di bawah Presiden Prabowo telah menggariskan pentingnya kekuatan udara moden sebagai salah satu asas dalam pertahanan negara.
Mengimbangi faktor itu adalah kemampuan negara berkenaan untuk membayar semula kos membeli pesawat dalam tempoh panjang.
Kebangkitan Indonesia dalam memperkukuh ketahanan udara negara dapat dilihat sebagai langkah strategik yang bijak dan berani.
Indonesia memahami bahawa ancaman di perairan Asia Tenggara bukan hanya melibatkan pelanggaran kedaulatan maritim tetapi juga ancaman terhadap keselamatan wilayah udara.
Oleh itu, kemampuan pesawat tempur berteknologi tinggi seperti Rafale memberi Indonesia kelebihan dalam mengimbangi pengaruh negara besar di kawasan tersebut.

Perolehan jet pejuang Dassault Rafale bermula dengan pemeteraian kontrak perolehan pada Januari 2023. /Gambar: Dassault Aviation
Dengan mengoperasikan pesawat canggih seperti Rafale, Indonesia dapat menutup jurang yang ada dan memberi amaran awal terhadap bakal musuh terutamanya dalam kawasan yang berisiko tinggi seperti Laut China Selatan.
Malaysia, meskipun mempunyai aset udara yang signifikan, ia masih dilihat berada di belakang negara-negara serantau termasuk Indonesia dalam kemajuan kuasa udara.
Walaupun TUDM bakal menerima kumpulan pertama pesawat FA-50M ‘Fighting Eagle‘ dari Korea Selatan tahun ini, pesawat pejuang ringan ini dilihat masih terhad untuk menjadi perisai ruang udara Malaysia.
Varian FA-50 Block 20 yang akan dibeli Malaysia adalah lebih canggih dan berkeupayaan lebih tinggi jika dibandingkan dengan FA-50 terdahulu.
Cuma, sebagai LCA ia tidak mempunyai keupayaan strategik seperti Rafale atau pesawat generasi 4.5+, apatah lagi generasi ke-5 seperti F-35.
Sepertimana diketahui pembelian pesawat itu adalah bagi menggantikan pesawat Hawk 100/200 yang telah berusia 30 tahun.
TUDM yang kini bergantung kepada pesawat pejuang seperti Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet masih perlu pesawat pejuang MRCA.
Walaupun TUDM mungkin akan memperolehi pesawat-pesawat baharu pada masa hadapan, namun kita telah memilih untuk terpaksa menunggu tempoh yang lebih lama.
Sama ada suka atau tidak, kita perlu mengiyakan bahawa pemikiran strategik yang ditunjukkan oleh kepimpinan Indonesia, terutamanya Presiden Prabowo jelas lebih berfokus.
Pendekatan Indonesia dalam meningkatkan keupayaan udara dengan perolehan pesawat Rafale adalah contoh bagaimana ia berusaha untuk memainkan peranan aktif dalam mempertahankan kedudukannya di Asia Tenggara. -airtimes.my
