KUALA LUMPUR, 23 JAN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tidak wujud pertindihan tugas Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dengan pasukan lain.
Menurut beliau, PASKAU berfungsi sebagai elemen pemboleh kuasa udara yang kritikal.
“Tidak wujud pertindihan fungsi dan peranan antara PASKAU dengan Rejimen Gerak Khas (RGK), 10 Briged Para mahupun Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM.
“PASKAU melaksanakan Air Domain (Domain Udara) berbanding pasukan yang lain,
“RGK, 10 Briged (Para) dan PASKAU mempunyai fokus tugas yang jelas dan tidak bersifat pertindihan mutlak,” tegasnya dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen.
Beliau menjawab persoalan wakil Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang meminta penjelasan mengenai fokus peranan PASKAU mengambil kira wujud pertindanan fungsi dan peranan antara RGK, 10 Briged Para dan UTK PDRM.
Menurut Menteri Pertahanan, PASKAU merupakan elemen kritikal yang memastikan kuasa udara negara beroperasi secara berkesan, berdaya tahan dan berterusan, merangkumi spektrum ancaman konvensional, bukan konvensional serta krisis keselamatan nasional.
Beliau menambah, PASKAU memainkan peranan strategik dalam memastikan kelangsungan operasi udara melalui keupayaan Mencari dan Menyelamat Tempur (Combat Air Rescue).
“Dalam konteks keselamatan maritim negara, PASKAU menyediakan keupayaan khusus seperti Maritime Para Rescue dan Maritime Para Combat, bagi menyokong Operasi Udara Maritim, misi Search and Rescue (SAR) serta tindak balas pantas terhadap insiden di perairan strategik negara,
“Keupayaan Ground Forward Air Controller PASKAU merupakan komponen strategik dalam integrasi operasi bersama pesawat tempur TUDM. Peranan ini menjadikan PASKAU sebagai force enabler utama dalam operasi TUDM dan ATM serta operasi berintensiti tinggi,” jelas Menteri Pertahanan.
Beliau menambah, PASKAU turut memainkan peranan sebagai pelindung aset strategik udara negara (Force Protection) dan menentang keganasan (Counter-Terrorism).
“Dalam konteks ancaman keganasan, PASKAU menyediakan keupayaan tindak balas khas terhadap insiden berprofil tinggi, khususnya yang melibatkan pesawat dan infrastruktur udara,” katanya.
Beliau menambah, PASKAU turut memiankan peranan dan bertanggungjawab sebagai lapisan keselamatan strategik bagi melindungi aset-aset kritikal TUDM, termasuk pangkalan udara, pesawat tempur dan anggota.
“Pembahagian peranan ini memastikan keupayaan Pasukan Khas ATM kekal seimbang, bersepadu dan berkeupayaan tinggi dalam menghadapi ancaman keselamatan masa kini dan masa hadapan,” tegas Khaled Nordin. – airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #PASKAU #TUDM #ATM #Malaysia






