KUALA LUMPUR, 21 JAN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menetapkan syarat baharu mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan atau local content dalam setiap perolehan aset pertahanan negara menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang diluncurkan hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketetapan baharu ini merupakan perubahan signifikan dalam dasar perolehan pertahanan negara bagi memastikan pembangunan industri tempatan yang lestari serta mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung perbezaan penetapan peratusan kandungan tempatan dahulu berbanding polisi terkini di bawah DIPN.
“Sebelum ini tiada (syarat peratusan) dan tiada undang-undang dalam syarat perolehan.
“Sekarang, semua produk yang hendak dibeli mesti mematuhi syarat 30 peratus tersebut sebaik sahaja DIPN dilancarkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran DIPN di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa polisi terdahulu yang tidak menetapkan syarat ketat menyebabkan kebergantungan yang tinggi kepada syarikat pembuat peralatan asal (OEM) dari luar negara.
Jelasnya, di bawah dasar baharu ini, penglibatan OEM dalam aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tidak lagi dibenarkan kecuali dalam tempoh waranti aset sahaja.
“Tiada lagi penglibatan OEM dalam aktiviti MRO. Bahkan, semua aktiviti perkhidmatan MRO mesti dijayakan oleh syarikat tempatan melainkan dalam tempoh waranti yang boleh dikendalikan OEM.
“Selepas tamat tempoh itu, ia mesti dipindahkan kepada syarikat tempatan kerana industri pertahanan banyak bermula dengan keupayaan MRO sebelum berkembang kepada pembuatan komponen dan peralatan lengkap,” ujar beliau.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut memberi amaran bahawa kontrak MRO syarikat tempatan boleh ditamatkan sekiranya mereka gagal melakukan inovasi atau penambahbaikan yang mampu mengurangkan kos serta meningkatkan peratusan kandungan tempatan. -airtimes.my
#DIPN #Mindef #Perolehan #ATM #Airtimes






