“Takkan dua kali orang tua kehilangan tongkat”
Peribahasa ini bermaksud pengajaran daripada pengalaman pahit membuat seseorang lebih berwaspada.
Dalam konteks keputusan kerajaan membeli kapal pelbagai misi (MPMS) APMM dari Türkiye dan tidak memilih untuk membinanya di dalam negara, ia dilihat dapat dihubungkan dengan pengalaman lalu.
Kegagalan projek kapal ronda pesisir (OPV) APMM terdahulu yang hanya siap satu daripada dua buah sehingga kini masih menjadi buah mulut.
Selain mengalami kelewatan, projek ini juga mencetuskan skandal dan kritik terhadap pengurusan dan pelaksanaan projek yang dianugerahkan kerajaan kepada syarikat tempatan.
Justeru, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mahu mengulang kesilapan yang sama dengan meneruskan projek yang berisiko tinggi seperti sebelumnya.
Dengan memilih DESAN Shipyard untuk membina kapal MPMS kedua, langkah kerajaan ini demi memastikan bahawa kapal yang diperlukan dapat disiapkan mengikut jadual tanpa masalah besar.

Kapal bernilai RM339.85 juta tersebut dijangka akan mula dibina dalam tahun ini sekiranya semua proses yang diperlukan selesai.
Tahun lalu DESAN Shipyard diberi kepercayaan membina kapal MPMS pertama APMM yang pembinaannya kini mencapai lebih 58 peratus.
Pembelian kapal bernilai RM304.29 juta ini membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan APMM.
Bermakna kos dua kapal MPMS buatan Türkiye tersebut adalah kira-kira RM643.85 juta.
Sebagai perbandingan, projek OPV APMM melibatkan kos asal sekitar RM740 juta untuk dua buah kapal semasa dimeterai pada tahun 2017 atau hampir 9 tahun lalu.
Kerajaan kemudian telah menyuntik pinjaman sebanyak RM152.6 juta untuk menyiapkan baki pembinaan OPV 1, KM Tun Fatimah.

Bagi menyiapkan baki dua buah kapal kemudian, kerajaan menganugerahkan kontrak baharu bernilai RM298.5 juta kepada Shin Yang Shipyard.
Projek OPV mengalami penangguhan akibat masalah kewangan kontraktor asal (THHE), dan kini disambung di bawah pengurusan baharu untuk melengkapkan keseluruhan 3 kapal OPV APMM.
Ini bermakna kos keseluruhan projek OPV telah mencecah lebih RM1.19 bilion manakala kos sebuah kapal OPV pula menjadi RM397 juta.
Di atas kertas, APMM akan menerima kapal peronda lama pada harga baharu manakala kerajaan menanggung kerugian kerana projek OPV yang menelan belanja hampir RM1 bilion ini gagal disiapkan kesemuanya.
Ketika ini status OPV 2 sudah 76% siap manakala OPV 3 pula 57%.
Berdasarkan peratusan siap itu kapal OPV 2 dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan manakala OPV 3 pasti lebih lama lagi.
Ini kerana walaupun pembina baharu hanya perlu menyambung dua blok utama kapal, namun ia masih memerlukan masa panjang untuk pelbagai ujian sebelum kapal ditauliahkan.
Kegagalan projek OPV pada sudut lain telah menggugat keselamatan maritim negara.
Sebaliknya, dalam tempoh 3 tahun lagi, APMM akan menerima kedua-dua kapal MPMS buatan Türkiye yang serba moden dimulai pada tahun hadapan.
DESAN Shipyard bukan limbungan kapal sebarangan, ia antara syarikat pembinaan kapal dan baik pulih dengan reputasi tinggi di negara tersebut.
Ia menjadi limbungan perkapalan kedua Türkiye yang diberikan kontrak oleh kerajaan Malaysia untuk membina kapal ronda selepas syarikat STM.

STM kini sedang menyiapkan pembinaan 3 buah kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kontrak bernilai RM2 bilion.
Kapal MPMS sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.
Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan.
Dengan teknologi tersebut kapal ini mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
Melihat pada saiznya, MPMS menyamai reka bentuk sebuah kapal ronda pesisir (OPV).
Sebagai perbandingan, OPV KM Tun Fatimah yang dibina menggunakan reka bentuk kapal Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut sehingga 21 hari tanpa ulang bekal.
Ia juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusiaan, bertindak sebagai kapal logistik, menjadi kapal induk dan kapal pemerintah serta menjadi tempat penyimpanan kelengkapan menghadapi ancaman tumpahan minyak.
Bermakna kapal MPMS cuma 16 meter lebih panjang daripada OPV KM Tun Fatimah. -airtimes.my
#Airtimes #APMM #KeselamatanMaritim #MPMS #OPV #Pertahanan #IndustriPertahanan #Türkiye #Malaysia
