Home DiskusiLaser, Dron Kamikaze dan satelit: Menelusuri Tujuh Projek Nasional Berimpak Tinggi

Laser, Dron Kamikaze dan satelit: Menelusuri Tujuh Projek Nasional Berimpak Tinggi

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Landskap keselamatan global yang semakin dinamik menuntut sesebuah negara untuk tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut berperanan sebagai pencipta dan pengeluar aset pertahanan. Malaysia, walaupun bukanlah sebuah negara kuasa besar tetapi tidak bermakna ianya perlu terus berada di takuk yang sama.

Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bukan sekadar satu dokumen polisi, sebaliknya ia adalah cerminan usaha serius oleh kerajaan dalam mentransformasikan ekosistem pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan bersempena DIPN telah mengumumkan 7 Projek Pertahanan Nasional (PPN) yang bakal menjadi tonggak kepada transformasi ekosistem pertahanan negara.

“Kita tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada pihak luar untuk menjamin keselamatan dan pertahanan negara,” tegas beliau dalam ucapan perasmiannya.

Beliau turut menambah bahawa peruntukan pertahanan yang besar tidak seharusnya sekadar menjadi perbelanjaan hangus, sebaliknya perlu menjana pulangan strategik kepada negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

“Amat rugilah sekiranya peruntukan besar kepada MINDEF setiap tahun tidak dimanfaatkan untuk membangunkan industri pertahanan negara yang kendiri, yang lestari dan yang berdaya tahan,” kata Menteri Pertahanan itu lagi.

Tujuh projek yang diumumkan ini bukan bermakna Malaysia berhasrat mengeluarkan pesawat pejuang dalam sekelip mata, tetapi ia adalah langkah permulaan taktikal untuk menguasai rantaian bekalan.

“Kita ingin bermula dengan membangunkan komponen dan perkhidmatan sendiri, agar syarikat-syarikat tempatan mampu menyertai rantaian bekalan sektor pertahanan secara signifikan,” ujar beliau.

Menguasai Dimensi Angkasa

Langkah paling signifikan dalam senarai projek ini adalah usaha menembusi domain angkasa melalui Projek Perkhidmatan Satelit Pertahanan Negara. Kementerian Pertahanan melalui syarikat tempatan, Boustead Holdings Berhad, kini sedang giat melaksanakan projek rintis ini.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan projek penyediaan satelit tempatan bagi mengambil alih perkhidmatan satelit pertahanan negara apabila kontrak ketika ini tamat pada tahun 2029.

Kementerian Pertahanan melalui syarikat tempatan kini sedang giat melaksanakan projek rintis ini. Fokus utamanya bukan sekadar memiliki aset, tetapi membangunkan keupayaan tempatan dalam penguasaan perisian satelit, pengurusan spektrum, serta penyelenggaraan operasi satelit.

Matlamat akhir inisiatif ini adalah untuk membolehkan Malaysia mengoperasi aset satelit pertahanan secara berdikari, sekaligus memperkukuh kesiapsiagaan operasi dan mengurangkan kebergantungan kepada sokongan teknikal luar.

Pembangunan Sistem Laser Pertahanan Udara

Sistem laser pertahanan udara milik Tentera China./Foto: Reddit

Selari dengan keperluan pertahanan udara yang semakin mencabar, Malaysia turut melangkah ke hadapan dengan Pembangunan Sistem Laser Pertahanan Udara atau Directed Energy Weapon (DEW). Projek ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat dari Republik Rakyat China, memfokuskan kepada pembangunan sistem senjata tenaga terarah berasaskan laser tenaga tinggi.

Dalam konteks peperangan moden, sistem ini amat kritikal bagi memperkukuh pertahanan udara taktikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam menangkis ancaman asimetrik dan peningkatan penggunaan sistem tanpa pemandu. Melalui kerjasama strategik yang melibatkan pemindahan teknologi dan penyelidikan berterusan, projek ini bakal membina keupayaan nasional dalam teknologi DEW serta mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

Revolusi Mobiliti Darat dan Kuasa Tembakan

Di sektor darat, tumpuan diberikan kepada kemandirian dalam penghasilan platform mobiliti melalui Pembangunan Platform Casis Beroda Aset Mobiliti Darat Masa Hadapan. Boustead Holdings Berhad sekali lagi memainkan peranan utama, kali ini dengan kerjasama syarikat dari Republik Türkiye, untuk membangunkan keupayaan pemasangan dan pembuatan platform casis beroda.

Kerjasama ini amat strategik kerana ia memfokuskan kepada pemindahan pengetahuan reka bentuk, kejuruteraan, dan pembuatan. Ini bermakna, pada masa hadapan, industri tempatan mampu memperkukuh industri kenderaan pertahanan serta meningkatkan keupayaan sokongan operasi syarikat tempatan kepada ATM.

Melengkapi keupayaan mobiliti ini adalah Pembangunan Keupayaan Pemasangan, Pembaikan, dan Pembuatan Sistem Persenjataan. Melalui kerjasama antara Boustead Holdings Berhad dan syarikat dari Republik Indonesia, Malaysia sedang membina kapasiti untuk melakukan pemasangan, pembaikan, dan pembuatan pelbagai sistem persenjataan di dalam negara.

Langkah ini dilihat sebagai usaha serampang dua mata yang merangkumi pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti pengeluaran. Ia bertujuan untuk memastikan sistem persenjataan generasi baharu dapat disokong secara lebih tersusun dan mampan melalui kepakaran tempatan.

Dominasi Spektrum Elektromagnetik

Sistem Perisikan Elektronik Mudah Alih (ELINT), dikenali sebagai TEDUNG ialah produk asli yang direka untuk operasi Electronic Warfare (EW)./Foto: Mindmatics

Salah satu projek yang wajar diberi perhatian khusus adalah “pengeluaran pasif radar”.

Sistem radar pasif ini memiliki keupayaan tinggi untuk mengesan, mengenal pasti, dan menjejak emisi radar serta komunikasi dengan liputan yang luas tanpa memancarkan isyarat yang boleh dikesan musuh. Kejayaan pembangunan sistem buatan tempatan ini membuktikan kemampuan industri pertahanan negara dalam membangunkan teknologi kritikal, sekaligus menyokong operasi pertahanan darat, laut, dan udara, serta berfungsi sebagai sistem amaran awal dan peperangan elektronik negara.

Berdasarkan helaian fakta yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pertahanan, syarikat tempatan Mindmatics Sdn Bhd terlibat dalam Pembangunan Sistem Perisikan Elektronik Pasif (Passive ELINT).

Sistem yang dikenali sebagai TEDUNG ini merupakan sistem radar pasif yang memiliki keupayaan tinggi untuk mengesan, mengenal pasti, dan menjejak emisi radar serta komunikasi dengan liputan 360 darjah berketepatan tinggi. Kejayaan pembangunan sistem buatan tempatan ini membuktikan kemampuan industri pertahanan negara dalam membangunkan teknologi kritikal, sekaligus menyokong operasi pertahanan darat, laut, dan udara, serta berfungsi sebagai sistem amaran awal dan peperangan elektronik negara

Sistem pesawat tanpa pemandu

Seiring dengan trend peperangan global yang beralih kepada penggunaan aset tanpa pemandu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengumumkan projek “pengeluaran produk Loitering Munition System atau kamikaze drone”.

Projek ini sedang dilaksanakan oleh Tinjau Mahir Sdn Bhd, sistem ini direka untuk berlegar, mengesahkan sasaran secara masa nyata, dan bertindak pantas. Keupayaan ini amat penting untuk keperluan operasi taktikal ATM. Lebih penting lagi, pembangunan sistem ini membina rantaian bekalan pertahanan nasional yang kos efektif dan mampan

Pemerkasaan Modal Insan Melalui Simulasi

Projek ketujuh memberikan tumpuan kepada aspek latihan dan pembangunan modal insan, iaitu Pembangunan Simulator Penerbangan FA-50M Tentera Udara Diraja Malaysia.

Projek ini adalah hasil daripada Program Kolaborasi Industri (ICP) susulan perolehan pesawat pejuang FA-50M, di mana syarikat tempatan Ikramatic Systems Sdn Bhd telah membangunkan simulator penerbangan tersebut.

Pembangunan simulator ini adalah pelaburan strategik yang membolehkan juruterbang menjalani latihan yang realistik, selamat, dan berulang. Selain menjimatkan kos operasi pesawat sebenar, ia juga memperkukuh kepakaran tempatan dalam bidang simulasi dan sokongan latihan aset strategik pertahanan.

Pengumuman ketujuh-tujuh projek strategik ini mencerminkan tekad Kerajaan untuk membina kekuatan pertahanan negara berteraskan teknologi, ilmu, dan keupayaan tempatan. Ia disokong oleh ekosistem baharu yang lebih tegas, di mana Menteri Pertahanan turut menetapkan syarat peratusan kandungan tempatan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam setiap perolehan. – airtimes.my

#DIPN #Pertahanan #Mindef #ATM #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply