SUBANG, 22 JAN – Syarikat peneraju penyelenggaraan penerbangan negara, AIROD Sdn.Bhd (AIROD) menyambut baik pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) serta menzahirkan komitmen penuh untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan objektif dasar tersebut.
Sokongan ini khususnya tertumpu kepada usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada pembekal dan teknologi asing, di samping membangunkan industri pertahanan yang kukuh demi menjamin kesinambungan operasi dalam sebarang situasi.
Selaku organisasi penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) pesawat pertama di Malaysia yang ditubuhkan sejak 1976, AIROD kini bersiap sedia sebagai aset nasional untuk menyokong platform penerbangan pertahanan sedia ada serta aset masa hadapan di bawah program pemodenan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif AIROD, Mejar Jeneral Dato’ Ir Ibrahim Bahari TUDM (Bersara) berkata, syarikat tersebut telah bersedia sepenuhnya untuk memenuhi keperluan pertahanan udara kerajaan, baik untuk masa kini mahupun masa hadapan.
“Pelaburan berterusan dalam infrastruktur, peralatan, pensijilan, pendigitalan dan pembangunan tenaga kerja memastikan AIROD kekal fleksibel, tidak terikat kepada platform tertentu serta bersedia memenuhi keperluan masa hadapan.
Kesiapsiagaan AIROD disokong oleh infrastruktur MRO berskala besar yang mampu menampung platform sayap tetap dan sayap putar, serta barisan tenaga kerja teknikal anak tempatan yang terlatih dan diperakuI,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Foto: Airod Sdn Bhd
Menurut beliau, AIROD turut memperkasakan keupayaan penyelenggaraan digital dan ramalan yang merangkumi perancangan berasaskan data serta penyelesaian berteraskan kepintaran buatan (AI).
Selaras dengan aspirasi DIPN yang dirangka oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mewujudkan industri pertahanan yang berdikari, AIROD kini giat menterjemahkan dasar tersebut melalui strategi jangka panjang.
Ini termasuk memperkukuh kebergantungan kendiri negara menerusi pelaksanaan penyelenggaraan peringkat depot, pengubahsuaian dan naik taraf yang dijalankan sepenuhnya di dalam negara.
Selain itu, syarikat ini juga aktif menjalin kerjasama dengan Pengeluar Peralatan Asal (OEM) global dan rakan industri bagi membolehkan pemindahan teknologi serta penyetempatan sokongan penyelenggaraan.
Di peringkat antarabangsa, AIROD telah membuktikan keupayaannya dengan rekod prestasi yang kukuh dalam menyediakan perkhidmatan MRO kepada angkatan udara asing termasuk Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), Kor Marin Amerika Syarikat, Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) dan Tentera Udara Filipina.
Jangkauan global ini meletakkan AIROD sebagai penghubung strategik antara industri pertahanan Malaysia dan ekosistem aeroangkasa antarabangsa, bertepatan dengan aspirasi DIPN. -airtimes.my
#AIROD #DIPN #Mindef #Pertahanan #Airtimes
