Home Pertahanan dan KeselamatanPerolehan aset pertahanan diteruskan, kedaulatan ZEE kekal terpelihara – Khaled Nordin

Perolehan aset pertahanan diteruskan, kedaulatan ZEE kekal terpelihara – Khaled Nordin

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 4 MAC – Kerajaan memutuskan semua urusan perolehan aset pertahanan diteruskan dengan syarat mematuhi kerangka tadbir urus baharu yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF). Keputusan itu dibuat selepas pembekuan perolehan diumumkan pada 21 Januari lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan tersebut dicapai pada 12 Februari hasil rundingan antara Kementerian Pertahanan dan MOF.

Ia turut mengambil kira keperluan operasi bagi memastikan kedaulatan negara, khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan sempadan tidak terjejas.

“Kerajaan bersetuju agar semua urusan perolehan aset pertahanan diteruskan dengan syarat ia berpandukan kerangka tadbir urus baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya di Dewan Negara.

Beliau menjelaskan, perolehan aset strategik yang sebelum ini dilaksanakan secara tender terbuka akan melalui proses penilaian semula serta pengiklanan semula. Langkah itu bagi memastikan setiap perolehan menepati keperluan semasa dan selaras dengan kerangka baharu yang ditetapkan.

Bagaimanapun, perolehan yang tidak melibatkan aset strategik dan telah dilaksanakan secara tender terbuka atau sebut harga masih boleh diteruskan tanpa perlu penilaian atau pengiklanan semula.

Beliau berkata demikian, ketika menjawab pertanyaan Senator Lingeshwaran a/l Dato’ Seri R. Arunasalam yang menyentuh bagaimana pembekuan perolehan tidak menjejaskan kedaulatan ZEE serta sempadan negara, selain jaminan kontrak masa depan diberikan kepada pembuat asal atau vendor tempatan yang mempunyai merit teknikal.

Mengulas ketelusan kontrak masa depan, beliau berkata Kerajaan akan mengoptimumkan kaedah Government to Government (G2G) melalui memorandum persefahaman. Pendekatan itu bertujuan mengelakkan peranan orang tengah serta memastikan ketelusan.

“Kaedah ini menjamin pembelian aset pertahanan mengikut keperluan pengguna akhir, lebih kos efektif mengurangkan kos perantara, sekali gus meningkatkan integriti perolehan” jelasnya.

Dalam masa sama, tumpuan akan diberikan kepada penganugerahan kontrak kepada pembuat asal atau syarikat tempatan yang mempunyai merit teknikal.

Langkah itu selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang menekankan pembangunan keupayaan tempatan.

Menurut beliau, dasar tersebut mensyaratkan kandungan tempatan dalam perolehan Kerajaan bagi membangunkan bakat serta mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing, khususnya dalam sektor maritim, aeroangkasa, dan automotif ketenteraan.

“Penganugerahan kontrak akan melalui penilaian menyeluruh merangkumi keupayaan teknikal, pematuhan spesifikasi operasi, keupayaan kewangan, tadbir urus korporat serta pematuhan peraturan perolehan Kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pembekuan perolehan aset diumumkan bagi meneliti semula komitmen kewangan negara. Perkembangan terbaharu ini memberi kejelasan bahawa operasi pertahanan, termasuk di ZEE, kekal menjadi keutamaan Kerajaan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply