IPOH, 1 MAC – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan masa meninjau dan menjalani ujian menembak menggunakan beberapa jenis senjata api buatan Turkiye di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, baru-baru ini.
Ujian tersebut melibatkan senjata keluaran syarikat pertahanan milik kerajaan Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi (MKE) yang semakin aktif mempromosikan produknya di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Antara senjata yang terlibat dalam sesi berkenaan termasuk raifal penembak tepat JMK BORA-12, KN-12, serta submesingan MP5 MTS-A3, MP5-A3 dan MDT-919. Turut diuji ialah beberapa pistol dan revolver seperti Glock 26 (G26), STI Apeiro 2011 dan Smith & Wesson Revolver.
Model Bora-12 (JNG-90) merupakan raifal ‘bolt-action’ berkaliber 7.62x51mm NATO yang direka untuk ketepatan tinggi sehingga 0.3 MOA dan keberkesanan jarak jauh mencecah 1,000 meter. Senjata ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan operasi penembak tepat tentera dan pasukan keselamatan.
Sementara itu, MDT-919 adalah submesingan moden berkaliber 9x19mm yang dibangunkan khusus untuk penguatkuasaan undang-undang dan pasukan keselamatan. Berbeza dengan reka bentuk klasik MP5 yang menggunakan sistem ‘roller-delayed blowback’, MDT-919 mengaplikasikan sistem ‘gas-operated short-stroke piston’ yang lebih moden.
Sepertimana diketahui, MKE merupakan pengeluar utama persenjataan Turkiye. Ditubuhkan pada tahun 1950, MKE merupakan pengeluar pertahanan milik kerajaan Turkiye dan pembekal utama kepada angkatan tentera Turkiye. Syarikat itu turut mengeksport senjata kecil ke lebih 60 negara. MKE mengendalikan kilang khusus senjata kecil di Kırıkkale yang menghasilkan pelbagai senjata infantri moden termasuk raifal penembak tepat dan mesingan.
Selain membangunkan reka bentuk sendiri, MKE juga telah lama menghasilkan beberapa reka bentuk senjata buatan Heckler & Koch (HK) secara berlesen.
Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung ujikaji di Ulu Kinta itu, tidak dapat dinafikan kemungkinan senjata-senjata buatan MKE sedang mengintai peluang untuk dibekalkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara unit yang berpotensi menerima platform tersebut termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), selain pasukan elit seperti 69 Komando dan Unit Tindak Khas (UTK), tertakluk kepada penilaian teknikal serta keperluan operasi.
Kehadiran aktif MKE dalam pameran pertahanan di Malaysia seperti Defence Services Asia (DSA) sejak kebelakangan ini dilihat sebagai usaha serius Turkiye untuk menembusi pasaran serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, pistol Glock juga difahamkan antara yang menjadi pilihan dan dalam pertimbangan untuk dibekalkan kepada PDRM bagi memperkukuh keupayaan persenjataan pasukan berkenaan.
Secara keseluruhannya, sesi ujikaji tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada proses penilaian teknikal terhadap keupayaan dan kesesuaian persenjataan baharu. Ini bagi memenuhi keperluan operasi PDRM dalam berdepan cabaran keselamatan semasa.
