KUALA LUMPUR, 3 MAC – Kementerian Pertahanan menegaskan penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) tidak melibatkan pemberian elaun bulanan kepada penerima, termasuk veteran berumur 60 tahun ke atas.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu termaktub dalam Warta Kerajaan yang menetapkan penganugerahan PJM tidak disertakan elaun kenangan atau bayaran berkala, kerana ia merupakan pengiktirafan kehormatan atau campaign medal, bukannya skim pencen atau bantuan kewangan tetap.
Walau bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju memberikan bayaran sekali beri sebanyak RM500 kepada penerima PJM dalam kalangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Belanjawan 2026.
“Sebagai tanda penghargaan Kerajaan, semasa pembentangan Belanjawan 2026, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan bayaran secara one-off sebanyak RM500 kepada penerima PJM dalam kalangan Veteran ATM, melibatkan implikasi kewangan sekitar RM60 juta,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh) mengenai rasional tiada elaun bulanan kepada veteran ATM, penerima PJM berusia 60 tahun ke atas, memandangkan jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.
Menurut Khaled, sebarang cadangan memperkenalkan elaun bulanan khusus memerlukan penelitian dasar secara menyeluruh, termasuk aspek kemampuan fiskal Kerajaan, keperluan sebenar Veteran serta implikasi sosioekonomi jangka panjang.
Sehingga 6 Februari 2026, seramai 57,124 orang Veteran telah menerima PJM masing-masing, manakala baki yang belum menerima pingat adalah seramai 64,692 orang.
Bagi menyelesaikan pemberian pingat itu, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM menyasarkan penganugerahan kepada 10,000 veteran setiap tahun. Penganugerahan tersebut dijangka selesai selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2032. -airtimes.my
