KUALA LUMPUR, 4 Jul – Malaysia merancang untuk memperoleh beberapa aset pertahanan utama dari Itali, termasuk pesawat pemantau maritim, helikopter dan kapal laut, dalam usaha memperkukuh keupayaan keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembelian itu akan meliputi dua pesawat pemantau maritim (Maritime Patrol Aircraft) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain 28 helikopter Leonardo AW149.
Beliau berkata, syarikat Fincantieri pula dijangka membekalkan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (Multi-Role Support Ship) (MRSS) dan kapal peronda pesisir pantai (Littoral Mission Ship) (LMS).
“Pembelian aset tentera ini akan membantu mengukuhkan hubungan sedia ada dengan Itali yang terkenal dengan industri ketenteraan,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika sesi akhir kunjungan tiga harinya ke Itali, pada Khamis.
Pada Oktober 2024, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melihat Leonardo AW149 sebagai helikopter yang baharu bagi menggantikan peranan Nuri untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Panglima Tentera Udara ketika itu, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, pemilihan helikopter Leonardo AW149 bagi menggantikan pesawat Nuri atau Sikorsky S-61 memenuhi keperluan penugasan TUDM serta dilengkapi spesifikasi ketenteraan.
Tegasnya, spesifikasi helikopter yang akan diterima pihaknya berbeza daripada versi komersial yang digunakan untuk kegunaan awam.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin yang turut hadir dalam rangka lawatan itu berkata, pembelian itu akan diperincikan agar Malaysia turut mendapat manfaat dari segi pemusatan latihan.
“Pada peringkat awal, penerbangan pesawat maritim itu dijangka menggunakan lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan mencadangkan perolehan dibuat menerusi perjanjian kerajaan-ke-kerajaan (G2G) bagi memastikan harga yang lebih kompetitif serta jaminan aset daripada kerajaan Itali.
“Ini akan membantu kita mendapatkan harga yang lebih baik dan jaminan aset daripada kerajaan Itali,” katanya.
Kementerian Pertahanan juga mencadangkan kedua-dua negara menerokai bidang baharu dalam sektor pertahanan antaranya kecerdasan buatan dan pusat kawalan keselamatan bawah laut.-airtimes.my
#aset #ATM #Malaysia #perolehan #Anwar #DSAI #airtimes
