Home SemasaGlobalTrump: AS lakukan serangan ‘sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear Iran

Trump: AS lakukan serangan ‘sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear Iran

by Nurulhuda
A+A-
Reset

WASHINGTON, 22 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump pada Sabtu berkata, negara itu telah melancarkan serangan udara berskala besar ke atas tiga lokasi tapak nuklear utama Iran, iaitu Fordow, Natanz dan Esfahan.

Trump berkata serangan melibatkan ‘muatan penuh’ bom digugurkan ke atas tapak nuklear utama Iran di Fordo manakala serangan tambahan dilakukan ke atas kemudahan di Natanz dan Esfahan.

“Kami telah menyelesaikan serangan yang sangat berjaya ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz, dan Esfahan,

“Semua pesawat kini dalam perjalanan pulang dengan selamat. Tahniah kepada Pahlawan Amerika kita yang hebat. Tiada tentera lain di dunia ini yang mampu melaksanakan misi ini,

“Sekarang adalah masa untuk keamanan! Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini,” jelas Trump, pada Sabtu.

Kemudahan nuklear Fordo ialah tapak pengayaan uranium bawah tanah berhampiran Qom dan merupakan kemudahan nuklear Iran yang paling dalam serta paling kukuh, direka untuk menahan serangan udara konvensional.

Terdahulu, pegawai Amerika Syarikat memaklumkan beberapa pesawat pengebom B-2 telah berlepas dari pangkalan mereka di Missouri dan sedang menuju ke arah barat merentasi Lautan Pasifik. Pesawat ini mampu membawa bom gergasi pemusnah kubu bawah tanah (bunker busting).

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Rabu memberi amaran kepada Amerika Syarikat bahawa sebarang serangan terhadap Republik Islam itu akan ‘mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki kepada mereka’.

Permusuhan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa tapak di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, mendorong Tehran melancarkan serangan balas.-airtimes.my

#global #AS #Iran #serangan #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply