KUALA LUMPUR, 23 Jun – Seramai 24 individu, termasuk 17 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Iran susulan konflik yang semakin meruncing di wilayah itu, selamat tiba ditanah air malam tadi.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, kesemua mereka menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH781 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 10.50 malam.
“Kumpulan itu turut terdiri daripada 6 warganegara Iran yang merupakan tanggungan kepada rakyat Malaysia serta seorang warganegara Singapura,
“Kesemua mereka telah melepasi sempadan Iran-Turkmenistan pada 21 Jun 2025. Mereka kemudiaanya menaiki penerbangan Turkmenistan Airline T5 647 pada 22 Jun 2025 dan transit di Bangkok, Thailand sebelum menaiki Malaysia Airlines MH781,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Wisma Putra, proses evakuasi itu berjaya dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer ke pintu sempadan Iran-Turkmenistan.
Urusan penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke Malaysia turut dibantu serta diselaraskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Islam Iran, Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan, yang membolehkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,
“Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI,” jelas Wisma Putra lagi.
Wisma Putra turut memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat juga telah membantu pergerakan dan penerbangan warganegara Brunei dari Turkmenistan pulang ke negara asal masing-masing.
Penglibatan seorang warganegara Singapura dalam operasi evakuasi kali ini serta bantuan kepada warganegara Brunei mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat negara anggota ASEAN, sejajar dengan semangat solidariti serantau.-airtimes.my
#semasa #Malaysia #Iran #airtimes #evakuasi