KUALA LUMPUR, 3 Julai – Pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim sebagai pemangku Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan merupakan langkah janggal dan tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pelantikan tersebut sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang keutuhan sistem pemisahan kuasa dan kebebasan institusi kehakiman yang menjadi asas kepada prinsip rule of law dalam mana-mana negara demokrasi.
“Lebih mengejutkan, pelantikan ini berlaku dalam keadaan Kerajaan Persekutuandan Perdana Menteri seolah-olah mengesahkan secara rasmi niat di sebalik tidak memberikan pelanjutan perkhidmatan kepada bekas-bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan,
“(Iaitu) masing-masing telah bersara wajib beberapa hari yang lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tegasnya, kegagalan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam urusan pelantikan tertinggi dalam badan kehakiman ini mengundang tanda tanya yang sangat besar.
Ia juga mencetuskan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan yang nyata, pengabaian disengajakan, atau lebih buruk lagi perancangan tersembunyi untuk mempengaruhi atau mengawal sistem kehakiman di negara ini.
“Perdana Menteri hari ini telah pun mengetuai cabang-cabang eksekutif dan legislatif negara secara mutlak. Kini, dengan kekosongan ketua cabang kehakiman yang dibiarkan berlarutan, apakah ini satu lagi langkah terancang seseorang,
“Langkah untuk menyempurnakan pengaruh penuh ke atas semua cabang kuasa Kerajaan, sekaligus mencabul konsep pengasingan kuasa? soalnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Takiyuddin menegaskan, kegagalan kerajaan menghormati serta menyegerakan proses pelantikan dalam badan kehakiman hanya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap keadilan dan keluhuran undang-undang.
Sehubungan itu, PN mendesak Perdana Menteri untuk segera menjelaskan kepada rakyat sebab kelewatan pelantikan tersebut selain menafikan sebarang niat untuk mencampuri urusan kehakiman.
“Perdana Menteri juga digesa menyegerakan proses pelantikan tetap bagi Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan mengikut lunas Perlembagaan dan kelaziman konstitusional,”ujarnya lagi.
Tegasnya, Institusi kehakiman adalah tonggak dan benteng terakhir dalam mempertahankan hak rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa takut atau pilih kasih.
“PN menggesa semua pihak terutama pihak berkuasa jangan sesekali mengorbankan prinsip ini demi percaturan politik atau agenda sempit kuasa,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Hasnah itu selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang memegang jawatan selama enam tahun dan mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu bersara wajib semalam.-airtimes.my
#kehakiman #Malaysia #KetuaHakim #airtimes #semasa