KUALA LUMPUR, 22 Jun – Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Tun Fatimah melakar sejarah tersendiri apabila melakukan pelayaran sulung ke luar negara menuju ke Pelabuhan Sanya, Hainan, China.
Bukan pelayaran biasa, sebaliknya ia menunjukkan keupayaan kapal peronda buatan tempatan ini melaksanakan operasi jarak jauh.
Lebih daripada itu, pelayaran ke China juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama keselamatan maritim serantau.
Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), misi ini membawa aspirasi besar dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang maritim.
Pada masa sama ia memperlihatkan kesiapsiagaan aset baharu negara dalam menangani cabaran keselamatan laut masa kini.
“KM Tun Fatimah merupakan OPV terkini APMM yang dilengkapi dengan pelbagai keupayaan operasi canggih dan serba moden,
“Penyertaannya dalam pelayaran ke China membuktikan keberkesanan pelaburan strategik negara dalam mempertingkat infrastruktur penguatkuasaan maritim,
“Kehadiran kapal tersebut di perairan antarabangsa bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas global, malah mengukuhkan imej negara sebagai sebuah kuasa maritim yang berdaya saing di rantau Asia Pasifik,” ujar kenyataan tersebut.
KM Tun Fatimah memulakan pelayaran dari Kuching, Sarawak pada petang 13 Jun sebelum tiba di perairan Sanya kira-kira pukul 4 petang waktu Malaysia pada 16 Jun 2025.
Ketibaan KM Tun Fatimah disambut kapal China Coast Guard (CCG) 5202 sebelum dibenarkan bersauh di posisi pertemuan iaitu 24 batu nautika selatan Pelabuhan Sanya seterusnya memasuki pelabuhan.
Ketibaan KM Tun Fatimah kemudian disambut secara rasmi oleh The 5th Bureau of the China Coast Guard diketuai Mejar Jeneral Pang Zhen.
Delegasi Malaysia diketuai Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abdul Aziz dan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Kepten Maritim Mohamad Nasir Man.
Majlis sambutan telah diadakan dengan penuh warna-warni menonjolkan budaya tradisi tempatan bagi meraikan ketibaan delegasi.
Ia disusuli dengan sesi lawatan kapal melibatkan rakan sejawat dari kapal China Coast Guard 5202.
Menurut kenyataan itu lagi, bersempena lawatan satu sesi Professional Exchange Talk antara Maritim Malaysia dan CCG.
Ia sebagai platform memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan maritim serantau.
“Sesi ini melibatkan pembentangan empat segmen utama meliputi ‘maritime intelligence’, ‘maritime decurity for major events’, ‘maritime forensics’ dan ‘maritime drug enforcement experience’,
“Turut dikongsi adalah amalan terbaik dalam operasi carilamat, prosedur ‘boarding and inspection’ serta pelaksanaan operasi penguatkuasaan maritim oleh kedua-dua agensi,” jelas kenyataan itu.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik ini, turut diadakan ‘manoeuvring and communication planning table top exercise’.
Ia memberi tumpuan kepada penyelarasan pelan komunikasi, protokol operasi serta langkah kontingensi.
Menerusi jalinan erat ini, ia sekali gus memperkukuh komitmen kedua-dua agensi dalam memastikan keselamatan perairan serantau terus terpelihara.-airtimes.my
#keselamatan #APMM #Malaysia #China #airtimes
