KUALA LUMPUR, 12 Jun – Lori tipper yang terlibat dalam kemalangan maut dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan bulan lalu didapati membawa muatan batu kerikil secara tidak sah dan melebihi had berat dibenarkan.
Menurut Laporan Awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan itu, lori berkenaan membawa 40,960 kilogram batu kerikil, iaitu melebihi 70.67% daripada had berat yang diluluskan, iaitu hanya 24,000 kilogram.
“Berdasarkan pelan teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lori berkenaan hanya diluluskan untuk membawa arang batu, dan ketinggian pagar sisi muatan yang dibenarkan ialah 1,016 mm,” menurut laporan diterbitkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Namun, semasa kejadian 13 Mei lalu, lori berkenaan membawa batu kerikil, yang mempunyai ketumpatan pukal jauh lebih tinggi, dan melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor 1959 kerana membawa muatan selain yang dibenarkan dan melebihi berat dibenarkan.
“Menurut Garis Panduan Penyemakan Pelan Teknikal Kenderaan 2015, kenderaan yang mengangkut bahan binaan seperti pasir atau batu kerikil hanya dibenarkan sekiranya ketinggian pagar sisi tidak melebihi 762 mm, kecuali untuk muatan khas berketumpatan tertentu yang diluluskan sebagai jenis badan khas,” menurut laporan tersebut.
Lori tipper bawa muatan 70.67 peratus
Laporan itu berkata, rekod rasmi juga menunjukkan, lori itu menyalahi Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010 dan Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor kerana membawa Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kilogram (kg) iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan 24,000 kg sekali gus meningkatkan tenaga kinetik yang menyumbang kepada impak pelanggaran pada hari kejadian.
“Pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya,
“Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000 kg pada kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ, manakala lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ, hampir dua kali ganda.
“Berat dan kelajuan yang lebih tinggi meningkatkan impak kemalangan dan risiko kecederaan serius,” menurut laporan itu.
Laporan juga menyatakan bahawa lori tipper berkenaan tidak dilengkapi sistem GPS walaupun diwajibkan di bawah peraturan APAD, dan pernah gagal pemeriksaan brek beberapa kali sebelum lulus semula hanya selepas pembetulan.
Trak FRU tiada tali pinggang keledar
Bagi trak FRU pula, laporan tersebut mengetengahkan beberapa isu keselamatan termasuk ketiadaan tali pinggang keledar di bahagian hadapan dan belakang, serta ketiadaan pelindung kepala di tempat duduk penumpang belakang.
“Ketiadaan ciri-ciri keselamatan ini secara signifikan meningkatkan risiko kecederaan dan kematian,” tambah laporan itu.
Laporan itu turut mendapati bahawa lori berkenaan membawa muatan bercampur iaitu barang dan penumpang di ruang belakang, yang meningkatkan lagi risiko kecederaan kepada penumpang sekiranya berlaku perlanggaran.
Pasukan petugas yang ditubuhkan bulan lalu itu ditugaskan untuk menyiasat punca kemalangan dan mencadangkan penambahbaikan aspek keselamatan jalan raya.
Kejadian 8.40 pagi yang turut menyebakan dua anggota FRU cedera parah berlaku apabila lori sarat dengan batu kerikil melanggar trak FRU membawa anggota pulang dari penugasan keselamatan di Ipoh.-airtimes.my
#semasa #nahas #FRU #Gerik #loritripper #JPJ #airtimes