Home SemasaMalaysia–Rusia perkukuh kerjasama pengurusan bencana, bakal meterai MoU tahun ini

Malaysia–Rusia perkukuh kerjasama pengurusan bencana, bakal meterai MoU tahun ini

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Malaysia dan Rusia bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pengurusan bencana menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) serta latihan bersama antara agensi penyelamat kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan rasmi Menteri Persekutuan Rusia bagi Pertahanan Awam, Kecemasan dan Penghapusan Akibat Bencana Alam (EMERCOM), Colonel General Alexander V. Kurenkov ke Malaysia hari ini menandakan satu detik penting dalam mempererat hubungan dua hala dalam pengurusan bencana.

“Saya merakamkan penghargaan atas hubungan kerja yang kukuh antara EMERCOM dan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), terutamanya dalam inisiatif serantau di bawah INSARAG dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana ASEAN (ACDM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan untuk memeterai MoU dalam masa terdekat yang akan membuka ruang kepada latihan bersama, pertukaran pengetahuan serta penyelarasan tindak balas kecemasan.

Antara sorotan lawatan tersebut ialah latihan mencari dan menyelamat antara pasukan SMART Malaysia dan pasukan RUS-03 EMERCOM Rusia, yang dilihat dapat memperkukuh kepercayaan bersama dan kesediaan operasi dalam menghadapi bencana sebenar.

Menurut Zahid, sidang video antara Pusat Pemerintahan Bencana Negara (NDCC) dan Pusat Pengurusan Krisis Nasional (NCMC) EMERCOM turut dijadualkan sebagai langkah memperkukuh komunikasi dan penyelarasan masa nyata antara agensi kecemasan kedua-dua negara.

Beliau juga mengalu-alukan program bina kapasiti Rusia termasuk latihan khas di Vladivostok serta usaha meneroka kerjasama dalam teknologi pemantauan bencana melalui aplikasi dron (UAV).

“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia kekal komited kepada kepimpinan serantau dalam tindak balas bencana. Pasukan SMART kami adalah antara yang terawal tiba di Myanmar baru-baru ini, beroperasi bersama pasukan antarabangsa termasuk RUS-03 EMERCOM,” katanya lagi.

Selain aspek teknikal, beliau turut menghargai penyertaan kumpulan budaya EMERCOM sebagai simbol pengukuhan hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

“Saya tidak sabar untuk memperdalam perkongsian ini berasaskan matlamat dan komitmen bersama terhadap daya tahan bencana dan perkhidmatan kemanusiaan,” tambahnya.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #Rusia #NADMA #airtimes

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply