Home Pertahanan dan KeselamatanKoperasi Tentera umum dividen RM125.3 juta, lancar platform pembiayaan baharu

Koperasi Tentera umum dividen RM125.3 juta, lancar platform pembiayaan baharu

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2025 – Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) terus menunjukkan prestasi kewangan yang memberangsangkan apabila mengumumkan agihan dividen sebanyak 7.1 peratus bagi tahun kewangan 2024, melibatkan jumlah keseluruhan RM125.3 juta kepada 155,678 anggota.

Pengumuman itu dibuat sempena Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera Ke-59 yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled menyifatkan pencapaian Koperasi Tentera sebagai bukti kukuh kekuatan institusi yang berasaskan sokongan anggota serta amalan pengurusan yang berdaya tahan.

“Daripada lebih 15,000 koperasi di Malaysia, hanya 100 sahaja dikategorikan sebagai koperasi premium,

“Dan daripada jumlah itu, Koperasi Tentera berada di tangga kedua yang menjadi satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun tidak menandingi kekuatan aset Bank Rakyat yang tersenarai sebagai koperasi, Koperasi Tentera sebenarnya merupakan koperasi paling berdaya saing dalam kalangan koperasi bukan institusi perbankan.

“Jika Bank Rakyat dikecualikan, maka Koperasi Tentera ialah koperasi nombor satu negara”, ujarnya.

Mesyuarat turut menyaksikan pelancaran Raees, platform pembiayaan patuh syariah untuk penjawat awam, yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada transformasi digital koperasi.

Platform ini dibangunkan seiring dengan kemajuan teknologi yang menggunakan sistem pembiayaan atas talian sepenuhnya.

Koperasi Tentera turut mencatat prestasi cemerlang menerusi Pembiayaan Kontrak, dengan kelulusan berjumlah RM471 juta setakat Mei 2025.

Daripada jumlah itu, RM215 juta disalurkan kepada pembekal perkhidmatan di bawah Kementerian Pertahanan.

Menteri Pertahanan dalam ucapannya turut menekankan potensi besar koperasi dalam memainkan peranan sebagai pemacu agenda Ekonomi Madani.

“Koperasi bukan sekadar alat kewangan melainkan ia adalah instrumen ekonomi anggota,

“Dalam ekosistem pertahanan, Koperasi Tentera boleh meneroka ruang pembiayaan kontrak, penyediaan perkhidmatan dan insurans, bahkan menyertai rantaian bekalan strategik yang mendukung pertahanan negara”, kata beliau.

Beliau turut menggesa agar koperasi memperluaskan peranan sosial melalui pelbagai skim kebajikan sedia ada seperti Tabung Pendidikan, Tabung Hayat Kematian dan Skim Bantuan Kecemasan yang dianggap sebagai sebahagian daripada prinsip kepedulian koperasi.

Koperasi Tentera kini mempunyai lebih RM3.23 bilion aset, manakala keuntungan sebelum cukai dan zakat meningkat kepada RM110 juta, berbanding RM77 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan ini turut meningkat daripada RM232.8 juta (2023) kepada RM253.3 juta pada 2024.

Dalam pembiayaan peribadi pula, produk Bai’ Inah Elham yang dilancarkan pada Mac mencatat pembiayaan RM11.66 juta dalam tempoh sebulan, dengan kadar keuntungan kompetitif serendah 4.30 peratus, tanpa keperluan penjamin.

Menteri Pertahanan turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan koperasi dan anggota atas komitmen menjayakan misi koperasi, sambil memberi jaminan sokongan berterusan daripada kementerian.

“Koperasi ini bukan hanya milik anggota, tetapi juga sebahagian daripada ekosistem pertahanan negara,

“Maka, saya mahu lihat Koperasi Tentera terus berkembang, profesional dan moden yang boleh menjadi contoh kepada koperasi lain,” katanya sebelum merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke -59.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada penerima Skim Insentif Kecemerlangan, bantuan perubatan, serta penghargaan kepada anggota koperasi yang paling lama berkhidmat.

Pemilihan barisan baharu Lembaga Koperasi turut berlangsung secara digital.-airtimes.my

#AirTimes #KoperasiTentera #ATM #Dividen2024 #Raees #PertahananNegara #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply