Home SemasaHamzah: Bongkar dalang konspirasi, Yusoff Rawther mangsa penganiayaan undang-undang

Hamzah: Bongkar dalang konspirasi, Yusoff Rawther mangsa penganiayaan undang-undang

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang di penyalahgunaan kuasa dalam kes Muhammad Yusoff Rawther, yang sebelum ini dituduh mengedar dadah dan memiliki senjata api tiruan.

Menurut beliau, wujud konspirasi dan unsur penganiayaan dalam pertuduhan tersebut sehingga memaksa Yusoff dipenjara selama sembilan bulan 10 hari tanpa ikat jamin.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Yusoff daripada dua pertuduhan serius di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Bayangkan jika ini terjadi kepada anak atau keluarga kita. Yusoff ditempatkan di blok banduan akhir, walhal beliau anak muda yang mempunyai masa depan,

“Apa jadi sekiranya keputusan di bawah pertuduhan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 tadi tidak memihak kepada Yusoff? Orang tidak bersalah akan dipenjara seumur hidup,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Yusoff, yang sebelum ini pernah menjadi saksi dalam kes berprofil tinggi melibatkan pemimpin pembangkang beberapa tahun lalu, telah ditahan reman selama 9 bulan 10 hari dan ditempatkan di blok banduan akhir meskipun kes masih di peringkat perbicaraan dan beliau tidak dibenarkan ikat jamin.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut mengucapkan tahniah kepada pasukan peguam bela yang diketuai oleh Muhammad Rafique Rashid Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Nurmustanir Md Nor atas usaha gigih mempertahankan keadilan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya tidak berdiam diri dan bangkit menuntut siasatan terhadap pihak yang menjadi dalang di sebalik pertuduhan yang tidak berasas ini.

“Saya menyeru kepada rakyat agar bangkit bersama-sama untuk memastikan dalang kepada konspirasi dan penganiayaan ini diambil tindakan, kerana kita tidak mahu sejarah penyalahgunaan kuasa berulang kembali,” tegasnya lagi.

Yusoff dituduh pada September 2024 selepas ditahan bersama beberapa barangan yang didakwa sebagai dadah dan sepucuk pistol tiruan.

Namun, sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah berkenaan pemilikan barangan tersebut serta menunjukkan kemungkinan wujud manipulasi dalam siasatan awal.

Mahkamah memutuskan untuk membebaskan beliau selepas mendapati elemen utama pertuduhan tidak dapat dibuktikan secara meyakinkan oleh pihak pendakwaan.-airtimes.my

#semasa #Pembangkang #Malaysia #Yusoff #airtimes

Related Articles

Leave a Reply