Home Pertahanan dan Keselamatan231 anggota ATM diberi peluang ikuti Pengajian Diploma di UPNM

231 anggota ATM diberi peluang ikuti Pengajian Diploma di UPNM

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Seramai 231 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma melalui Program Work-Based Learning (WBL) 2.0 Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kesemua mereka akan memulakan pengajian selama enam bulan mulai bulan ini.

Daripada jumlah itu, seramai 139 anggota adalah daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), 42 daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 50 daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada kumpulan kohort pertama ini telah diadakan di Dewan Theatrette, UPNM dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MINDEF, Datin Roszanina Wahab, pada Khamis.

Program WBL 2.0 adalah satu pendekatan akademik inovatif yang dirangka khusus bagi mengiktiraf kemahiran, pengalaman kerja dan kepakaran anggota ATM melalui pemetaan kerjaya kepada kurikulum akademik tanpa keperluan kehadiran fizikal ke kuliah secara berkala.

Tiga program ditawarkan adalah Diploma Pengurusan Logistik (DPL), Diploma Pentadbiran Perniagaan (DPP) dan Diploma Perkhidmatan Teknologi Pertahanan (DPTP).

“Ia dinilai secara profesional mengikut piawaian ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),

“Ketiga-tiga program itu diluluskan oleh MQA dan dirangka khusus mengikut trend kerjaya serta keperluan sebenar perkhidmatan tentera,” jelas UPNM.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral, Datuk Arman Rumaizi Ahmad menegaskan, kejayaan pelaksanaan program ini memperkukuh peranan UPNM dalam mendukung aspirasi UPNM30, ke arah menjadi universiti pertahanan unggul menjelang tahun 2030.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pertahanan, ATM dan MQA atas kerjasama padu yang diberikan.-airtimes.my

#pertahanan #UPNM #ATM #WBL20 #airtimes #Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply