Home SemasaRazarudin cadang PDRM diletakkan bawah kementerian khusus

Razarudin cadang PDRM diletakkan bawah kementerian khusus

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar diletakkan di bawah satu kementerian khusus bagi memperkukuh keupayaannya sebagai agensi penguat kuasa terulung negara, tegas Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain.

Cadangan itu dikemukakan beliau semasa menyampaikan amanat terakhir dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara di PULAPOL Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Bakal melepaskan jawatan itu Ahad ini, Razarudin berkata, agensi besar seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sektor kesihatan dan pendidikan hanya menaungi agensi tunggal di bawah satu kementerian.

“Menjadi gagasan seluruh keluarga besar PDRM, sejajar dengan usianya yang telah mencapai lebih 2 abad, sudah tiba masanya PDRM diletakkan di bawah satu kementerian khusus, sebagai entiti tunggal tanpa berkongsi dengan agensi lain,” katanya.

Menurut beliau, dengan keanggotaan melebihi 137,000 orang, PDRM merupakan antara agensi keselamatan terbesar negara dan memerlukan struktur pentadbiran yang lebih tersusun dan fokus untuk menangani cabaran keselamatan masa kini.

“Merujuk kepada benchmark antarabangsa seperti di China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan dan Brunei, agensi kepolisan negara tersebut diletakkan di bawah satu kementerian khusus,

“Maka, besarlah harapan saya serta barisan kepimpinan tertinggi Pasukan agar usaha ini dapat direalisasikan,” ujarnya lagi.

Razarudin turut memaklumkan bahawa kertas cadangan berkenaan telahpun dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Setiausaha Negara untuk pertimbangan.

“Saya optimis bahawa resolusi ini akan membawa kebaikan dan perubahan besar dalam memperkasakan perkhidmatan demi kebaikan bersama,” jelasnya.

Terdahulu pada majlis itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai KPN ke-15 bagi menggantikan Razarudin berkuat kuasa pada Jumaat.

Majlis Serah Terima Tugas itu disaksikan Menteri Dalam Negeri dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta pegawai kanan PDRM.

Dalam ucapannya itu, Razarudin turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan pelbagai pihak sepanjang tempohnya memimpin pasukan keselamatan itu sejak Jun 2023 dan sepanjang lebih 42 tahun dia berkhidmat dalam PDRM.-airtimes.my

#airtimes #Malaysia #PDRM #kementerian #semasa

 

 

Related Articles

Leave a Reply