Home SemasaMohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15

Mohd Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baharu ke-15.

Pelantikan Mohd. Khalid sebagai KPN Ke-15 adalah bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain selepas menamatkan kontrak sebagai KPN pada 22 Jun ini.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

“Mohd Khalid dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,

“Beliau merupakan seorang pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan/keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan PDRM pada 5 April 1987 apabila ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, iaitu setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun yang sama,

“Beliau mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen dan luar negara,

“Beliau pernah menjawat jawatan key-post sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Mohd Khalid telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025.

“Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara dan telah dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025 sehingga kini,”jelasnya lagi.

Menurut Saifuddin, berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagi pihak Kerajaan Madani, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Razarudin Husain atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023,

“Kerajaan Madani mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Sri Mohd Khalid di atas pelantikan ini,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#PDRM #KPN #airtimes #Malaysia #IGP #semasa

 

Related Articles

Leave a Reply