KUALA LUMPUR, 11 Jun – Permit pengendali bas yang terlibat dalam nahas maut meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu dibatalkan serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, siasatan mendapati pengendali tersebut melanggar syarat utama lesen apabila memajak permit kepada pihak ketiga serta gagal mengaktifkan sistem pengesanan lokasi (GPS) seperti yang diwajibkan.
“Saya telah arahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tarik serta-merta permit pengendali terbabit selepas tamat tempoh surat tunjuk sebab. Semua lesen pengendali termasuk beberapa bas lain akan dibatalkan,
“Walaupun ada proses rayuan yang boleh dia (syarikat pengendali) buat, kementerian tegaskan segala rayuan tidak akan dilayan,” katanya pada Rabu.
Tragedi pada Isnin lalu menyaksikan 15 pelajar UPSI terkorban apabila sebuah bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat.
Kemalangan ngeri itu turut menyebabkan 33 individu lain cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna tersebut.-airtimes.my
#airtimes #Gerik #UPSI #pelajar #semasa