KUALA LUMPUR, 11 Jun – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan langkah pemberhentian seramai 5,000 pekerja kontrak oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai satu tindakan yang mengejutkan dan tidak berperikemanusiaan, apatah lagi tanpa sebarang jaminan sokongan kepada mereka yang terjejas.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun mereka merupakan pekerja kontrak, kebanyakan daripada mereka telah lama berkhidmat dan mempunyai tanggungan keluarga yang perlu disara.
“Pemberhentian secara beramai-ramai tanpa diberikan peluang latihan tertentu untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebarang penamatan perkhidmatan seharusnya dilaksanakan secara berperingkat dan disusuli dengan pelan sokongan seperti latihan keusahawanan dan bantuan modal agar mereka mampu membina kehidupan baharu.
“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan Bumiputera seharusnya disalurkan bagi membantu mereka berdikari dan tidak terus terpinggir,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyeru agar kerajaan memainkan peranan aktif dalam menangani isu ini, memandangkan Petronas adalah syarikat milik negara yang menyumbang besar kepada pembangunan ekonomi dan dividen kerajaan.
Petronas kini berdepan pelbagai cabaran termasuk kejatuhan harga minyak, peralihan global kepada tenaga boleh diperbaharui, serta pertikaian yang belum selesai dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berkaitan hak pengedaran gas di Sarawak.
“Jika keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya yang akan terjejas, malah seluruh ekosistem industri minyak dan gas negara yang melibatkan lebih 70,000 pekerja turut terkesan,” jelasnya.
Justeru, Muhyiddin menggesa kerajaan membentangkan segera pelan kelestarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara bagi memastikan kelangsungan syarikat serta kebajikan pekerja terus terjamin.
“Kerajaan juga perlu lebih berhemah dalam menggunakan dana Petronas, terutama ketika hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya,” tambah beliau.-airtimes.my
#Muhyiddin #PN #airtimes #petronas #Malaysia