KUALA LUMPUR, 3 Julai – Malaysia dan Itali bersetuju memuktamadkan satu perjanjian perolehan pertahanan secara kerajaan-kepada-kerajaan (G2G) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara di peringkat yang lebih tinggi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dipersetujui dalam pertemuan dua hala beliau bersama rakan sejawatnya, TYT Guido Crosetto, di Kementerian Pertahanan Itali sempena lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhaim ke Rom.
“Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua negara memperbaharui komitmen untuk terus memperkukuh hubungan sekaligus meningkatkan kerjasama pertahanan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi,
“Kami telah bersetuju untuk memuktamadkan satu perjanjian perolehan pertahanan antara kerajaan, selain meneroka satu lagi perjanjian baharu berkaitan perkhidmatan logistik bersama antara angkatan tentera kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, pada Rabu.
Tambah Mohamed Khaled, beliau turut mengalu-alukan tawaran kepakaran daripada Itali khususnya dalam bidang keselamatan bawah permukaan laut (underwater security), selain cadangan kerjasama dalam bidang telekomunikasi, satelit dan siber.
Anwar dijadual mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Itali, di mana beliau berharap lawatan itu akan mengukuhkan hubungan dua hala dan memperdalam kerjasama strategik, serta meningkatkan penglibatan Asean-European Union dalam landskap global yang mencabar.
Malaysia kini sedang menunggu pesawat peronda maritim (MPA) yang dibina oleh firma pertahanan Itali Leonardo S.p.A. di mana pembinaannya kini mencapai 60 peratus kemajuan.
Pengambilalihan ATR-72 MPA daripada Leonardo S.p.A telah dirasmikan semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) ke-16 pada Mei 2023.
Ia adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas di bawah Pelan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055, yang membayangkan perolehan enam MPA menjelang 2035 dalam tiga fasa.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #Itali #airtimes