Home Pertahanan dan KeselamatanKerajaan terus perkasa keselamatan di Sabah, tangani risiko ancaman – Mohamed Khaled

Kerajaan terus perkasa keselamatan di Sabah, tangani risiko ancaman – Mohamed Khaled

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kerajaan terus memberikan perhatian serius terhadap usaha memperkasa pertahanan dan keselamatan di Sabah berikutan kedudukan strategik negeri itu yang mendedahkannya kepada pelbagai bentuk ancaman.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun Sabah kini berada dalam keadaan aman, langkah kesiapsiagaan tetap menjadi keutamaan kerana faktor geografi wilayah ini menjadikannya lebih terdedah kepada potensi ancaman luar.

“Pertahanan di Sabah dan wilayah ini turut terus diperkasa. Meskipun Sabah kini aman, risiko ancaman di sini lebih ketara kerana kedudukan geografinya,

“Perhatian serius diberikan dalam menangani sebarang bentuk ancaman di wilayah ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.

Pada masa yang sama, Mohamed Khaled turut menekankan bahawa keamanan negara adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk rakyat dan para veteran.

“Saya turut tekankan bahawa keamanan adalah tanggungjawab bersama. Para veteran diharap dapat terus memainkan peranan, sebagai anggota masyarakat, untuk mendukung ATM, bagi menjayakan pendekatan ‘Whole of Government, Whole of Society’,” ujarnya lagi.

Terdahulu, semasa mengadakan lawatan kerja di Tawau, beliau telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada para veteran ATM.

“Mewakili negara, saya menzahirkan rasa terima kasih kepada para veteran ATM atas keperwiraan dan pengorbanan demi keamanan tanah air,

“Keamanan yang dinikmati tidak mungkin dirasai tanpa jasa mereka,” tegasnya.

Mohamde Khaled turut menegaskan sebagai rakyat, semua orang perlu menghayati sejarah perjuangan mereka dan mengambil ikhtibar sewajarnya demi masa depan negara yang lebih baik.

Beliau turut menyatakan komitmen kementerian untuk terus mengangkat agenda kebajikan veteran ATM, sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan para veteran mereka.

“Setiap tahun, kita dapat menyaksikan peruntukan bagi hal ehwal veteran meningkat dengan ketara,

“Semoga perjuangan para veteran ATM akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk membina Malaysia yang lebih kuat, menjadi pejuang masa hadapan yang sentiasa bersedia membela tanah air,” jelas Mohamed Khaled lagi. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #ATM #Sabah #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply