KUALA LUMPUR, 10 Julai – Dua pegawai dan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah pagi tadi dihantar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kelima-lima mangsa membabitkan dua pegawai dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.
Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.25 pagi itu melibatkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG yang sedang melaksanakan latihan sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).
“Kita mengesahkan helikopter milik PDRM dilaporkan terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah pagi tadi ketika sedang menjalani latihan keselamatan serantau,
“Pesawat itu sebelum ini dilaporkan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi sebelum mengalami nahas di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Gelang Patah,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Mohd. Khalid menjelaskan, satu siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia selaras dengan peruntukan Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat termasuk Maritim Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas tindakan pantas dan kerjasama diberikan.
Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video berkaitan kejadian yang boleh menjejaskan siasatan atau sensitiviti keluarga mangsa.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi PDRM,” jelasnya lagi.-airtimes.my
#keselamatan #airtimes #PDRM #kemalangan #pesawat


