KUALA LUMPUR, 6 Jul – Seorang anggota komando yang dilaporkan hilang ketika menjalani latihan selam skuba di Pelabuhan Kuantan sejak Khamis lalu, ditemukan lemas semalam.
Mayat Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, dijumpai terdampar di tebing batu kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sekitar 10 pagi.
Pemangku Ketua Polis Kuantan, Mohd Adli Mat Daud, berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian bersama peralatan menyelam.
“Berdasarkan laporan, ketika kejadian mangsa bersama tiga anggota komando lain sedang menjalani latihan selaman skuba di kawasan pelabuhan berkenaan,
“Mereka turun ke dasar laut berpandukan tali keselamatan, namun mangsa dipercayai terlepas daripada tali tersebut dan dibawa arus deras,
“Kehilangan mangsa disedari apabila hanya tiga penyelam timbul ke permukaan selepas sesi latihan berakhir kira-kira jam 12.15 tengah hari, Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Beliau berkata, pasukan komando yang terlibat dalam latihan berkenaan telah melancarkan usaha pencarian, namun gagal menemui mangsa sebelum bantuan daripada agensi lain dimohon.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai polis, bomba dan tentera dilancarkan selepas laporan kehilangan diterima pada jam 3.19 petang,” ujarnya lagi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.
Difahamkan mangsa bertugas di Rejimen 22, Kem Iskandar Mersing, Johor dan dijadualkan menjalani latihan di Kuantan antara 30 Jun dan 9 Julai.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #komando #latihan #skuba #GGK