KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan merupakan urusan kenegaraan yang penting dan perlu ditangani secara cermat serta penuh integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Istana Negara dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa proses pelantikan tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya mesti menjunjung prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.
“Pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Menurut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Perkara ini memperlihatkan keperluan untuk memastikan kebebasan kehakiman kekal utuh dan dihormati.
Istana Negara turut menjelaskan bahawa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong terletak kepada Perdana Menteri.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak gesaan supaya satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan jawatankuasa pilihan khas parlimen ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan ketidakteraturan dalam pelantikan kehakiman.
Menurutnya, proses pelantikan berjalan mengikut Perlembagaan Persekutuan, dan sebarang dakwaan wujudnya krisis adalah tidak berasas.
Ini berikutan tuntutan oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan beberapa Ahli Parlimen PKR lain untuk satu RCI dan pendengaran oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen susulan kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi, termasuk ketua hakim negara.
Krisis perlembagaan timbul ketika persaraan wajib Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, minggu lalu.-airtimes.my
Pelantikan hakim dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
#semasa #DaulatTuanku #IstanaNegara #Malaysia #airtimes
