Home DiskusiDari maklumat ke manipulasi: Bagaimana AI, Deepfake kuasai medan persepsi

Dari maklumat ke manipulasi: Bagaimana AI, Deepfake kuasai medan persepsi

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Dalam era digital yang berkembang pesat, medan perang tidak lagi hanya berada di darat, laut atau udara. Hari ini, ia turut menjalar ke ruang maya, tempat di mana maklumat menjadi senjata dan persepsi menjadi medan pertarungan. Di sinilah teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan deepfake memainkan peranan besar dalam mengubah cara kita melihat, memahami dan mempercayai sesuatu maklumat.

Perkembangan AI telah merevolusikan pelbagai aspek kehidupan, termasuklah cara manusia mengakses dan menganalisis maklumat.Melalui model bahasa canggih dan alat generatif seperti GPT, sesiapa sahaja mampu menghasilkan ratusan mesej propaganda dalam pelbagai bahasa serta nada dalam masa beberapa minit sahaja. Kandungan ini disasarkan tepat kepada kumpulan sasaran berdasarkan analisis emosi, minat dan kecenderungan politik individu melalui data besar.

Namun, di sebalik segala kemudahan dan kehebatan ini, wujud sisi gelap yang membawa ancaman serius kepada keselamatan maklumat dan kestabilan sosial. Antara yang paling membimbangkan ialah penyalahgunaan teknologi deepfake iaitu teknik manipulasi visual dan audio menggunakan AI yang mampu menghasilkan kandungan palsu seolah-olah benar-benar berlaku.

Bayangkan sebuah video menunjukkan pemimpin negara menyeru rakyat untuk memberontak, atau seorang tokoh agama menyampaikan mesej kebencian yang semuanya kelihatan nyata, lengkap dengan mimik muka, suara dan latar suasana yang meyakinkan dalam suasana tegang atau krisis, video sebegini mampu mencetuskan panik, ketidakpercayaan dan tindak balas yang tidak rasional.

Namun, hakikatnya ia adalah palsu sepenuhnya, hasil olahan algoritma pintar yang disuntik dengan niat tertentu. Deepfake tidak lagi sekadar hiburan atau jenaka internet. Ia kini senjata propaganda yang mampu menggugat keamanan, merosakkan reputasi dan mencetuskan kekeliruan berskala besar.

Medan persepsi telah menjadi ruang pertarungan baharu antara kebenaran dan penipuan. AI memainkan peranan penting dalam membentuk naratif, baik melalui penjanaan kandungan automatik, manipulasi data besar, mahupun penyesuaian mesej kepada kelompok sasaran secara mikro. Melalui algoritma, pelbagai kandungan boleh disebar kepada individu berbeza, berdasarkan kecenderungan dan emosi mereka. Ini membuka ruang kepada ‘perang psikologi digital’, di mana musuh tidak perlu menyerang secara fizikal, sebaliknya hanya perlu mengubah cara rakyat berfikir.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing dalam konteks geopolitik global. Contohnya, semasa pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016, penggunaan data peribadi oleh firma seperti Cambridge Analytica mencetuskan perdebatan tentang bagaimana AI dan algoritma boleh digunakan untuk mempengaruhi pilihan pengundi. Hari ini, dengan kemunculan teknologi yang lebih canggih dan mampu milik, sesiapa sahaja boleh mencipta, menyebar dan memanipulasi kandungan berasaskan AI, termasuk deepfake, hanya dengan beberapa klik sahaja.

Dalam konteks Malaysia, isu ini perlu diberi perhatian serius. Negara kita sedang berada di persimpangan antara transformasi digital dan keperluan menjaga integriti maklumat awam. Kewujudan deepfake boleh membawa kesan buruk dan jika tidak dikawal, ianya boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, bahkan digunakan untuk tujuan sabotaj politik dan ekonomi.

Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu lebih proaktif dalam membangunkan kerangka pemantauan serta penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan teknologi ini. Di samping itu, kerjasama rentas agensi termasuk sektor pendidikan, media dan teknologi amat penting dalam membentuk satu ekosistem yang berdaya tahan terhadap manipulasi maklumat.

Namun, kawalan sahaja tidak mencukupi. Rakyat juga perlu dibekalkan dengan kefahaman dan kemahiran literasi media yang tinggi. Dalam dunia yang penuh maklumat palsu, keupayaan untuk mengesah, menilai dan menapis maklumat menjadi kemahiran teras abad ke-21. Pendidikan digital perlu bermula seawal mungkin, bukan sekadar untuk mengajar cara menggunakan teknologi, tetapi juga untuk membina daya tahan minda terhadap manipulasi dan penipuan.

Kita tidak boleh menafikan manfaat besar AI dalam pembangunan negara, termasuk dalam bidang perubatan, pertanian, pendidikan dan pengurusan bandar pintar. Namun, dalam masa yang sama, kita mesti bersedia untuk menghadapi cabaran yang dibawanya. Teknologi adalah alat, dan bagaimana ia digunakan bergantung sepenuhnya kepada manusia.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita renung bersama: dalam dunia yang semakin dikuasai oleh kecerdasan buatan dan manipulasi visual, apakah yang masih boleh kita percaya? Apakah kebenaran masih punya ruang, atau sudah tenggelam dalam lautan maklumat yang dimanipulasi?

Jika persepsi boleh dibentuk dengan begitu mudah, maka keselamatan negara bukan sahaja terletak pada senjata dan sempadan, tetapi juga pada kekuatan minda dan keupayaan rakyatnya untuk menapis kebenaran. -airtimes.my

#AirTimes #AncamanDigital #KecerdasanBuatanAI #Deepfake #PerangMaklumat #NaratifDigital #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply