Home Pertahanan dan KeselamatanESSZONE Sabah destinasi selamat, aman dikunjungi – Saifuddin

ESSZONE Sabah destinasi selamat, aman dikunjungi – Saifuddin

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) merupakan destinasi yang aman, stabil dan selamat untuk dikunjungi, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap potensi pelancongan di pantai timur Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program jemputan diplomat asing ke ESSZONE yang memasuki tahun kedua penganjurannya, merupakan langkah strategik untuk membetulkan persepsi luar terhadap keselamatan di wilayah itu.

“Tahun ini, seramai 15 wakil diplomatik dan pegawai perwakilan daripada 10 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jerman, Belgium, Ireland, Kanada, China, Korea, Sepanyol dan New Zealand telah menyertai lawatan lapangan ke beberapa lokasi pelancongan utama seperti Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking,

“Saya anggap program ini sebagai satu langkah penting untuk memberi gambaran sebenar kepada masyarakat antarabangsa bahawa pantai timur Sabah adalah wilayah yang selamat dan stabil untuk dikunjungi,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, menerusi lawatan itu, perwakilan asing dapat mengenal budaya, mengetahui sejarah dan seterusnya mendapat pencerahan mengenai keunikan lokasi serta tahap keselamatan.

Tambahnya, masih terdapat beberapa negara yang mengekalkan nasihat perjalanan (travel advisory) yang tidak menggalakkan rakyat mereka melawat kawasan tersebut, dan pendekatan bersemuka seperti ini penting bagi membetulkan persepsi tersebut secara langsung.

“Atas sebab itulah pendekatan bersemuka seperti ini menjadi sangat penting kerana kita mahu persepsi diperbetulkan, dan keyakinan antarabangsa dapat dipulihkan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan, keberadaan pasukan keselamatan di kawasan ESSZONE pada tahap siap sedia sedia tinggi dengan pelbagai operasi dilaksanakan menggabungkan sumber kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta sokongan risikan dan kerjasama rentas sempadan.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) atas sokongan padu dalam menjayakan program lawatan tersebut dari aspek logistik, teknikal dan komitmen strategik.

“Saya percaya, bila keyakinan terbina, pelaburan dan pelancongan akan kembali. Bukan kerana kita minta simpati, tetapi kerana mereka sendiri telah melihat bukti,” tegas Saifuddin.

ESSZONE merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. -airtimes.my

#keselamatan #airtimes #Sabah #Malaysia #KDN

Related Articles

Leave a Reply