KUALA LUMPUR, 6 Julai – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menyiasat secara terperinci insiden kematian anggota komando, Koperal Mohd Haswansir Julnasir, semasa menjalani latihan di perairan Kuantan, Pahang.
Dalam satu kenyataan hari ini, TDM mengesahkan bahawa Allahyarham Koperal Mohd Haswansir, 30, dari Rejimen 22 Komando, Grup Gerak Khas (GGK), hilang ketika menyertai Latihan Seaghost Siri 1/2025 pada 3 Julai lalu.
Latihan tersebut melibatkan penggunaan sistem pernafasan tertutup (Closed Circuit Breathing Apparatus, CCBA) di kawasan Dock Port, Kuantan.
Menurut Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat, Allahyarham merupakan anggota elit Skuadron Perahu Khas (SPK) yang memiliki kepakaran dalam serangan amfibi dan operasi penyusupan maritim.
Mayat beliau ditemui oleh pasukan rondaan permukaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada pagi 5 Julai, kira-kira 500 meter dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
Peralatan selaman dan senjata M4 milik Allahyarham turut ditemukan dalam keadaan lengkap bersama jenazah.
“Bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, TDM akan menubuhkan satu Lembaga Siasatan bagi menjalankan siasatan terperinci,
“Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa dalam waktu yang sukar ini,” menurut kenyataan itu.
Jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat sebelum diterbangkan pulang ke kampung halamannya di Semporna, Sabah dengan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gusung Melanta Tesi, Pulau Bum Bum, Semporna pada awal pagi tadi.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, bersama seluruh warga TDM turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada pasukan.-airtimes.my
#TDM #GGK #lemas #katihan #komando #Malaysia