SUNGAI UDANG, 4 Jan – Seramai 4 pegawai dan 39 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya membuktikan kecekalan apabila menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/3/2024 di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang, hari ini.
Semua pegawai dan anggota itu dianugerahkan beret hijau dan pisau komando selepas 3 bulan menempuh pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental.
Upacara penganugerahan itu disempurnakan Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.
Pada upacara berkenaan, Leftenan Muda Awang Suhaili Udin telah diumumkan sebagai Penuntut Terbaik Kursus kali ini.
Ahmad Shuhaimi dalam ucapannya berkata, daripada 198 penuntut yang hadir, hanya 4 pegawai dan 39 anggota sahaja yang telah lulus dengan 21.7 peratus.
Beliau turut mengingatkan agar beret hijau yang baru disarung ini sentiasa dipertahan dan dipelihara sehingga ke titisan darah terakhir kerana ia adalah maruah dan lambang kebanggaan Gerak Khas.
“Saudara-saudara perlu sentiasa membuktikan bahawa saudara-saudara semua benar-benar layak memakainya dengan terus kekal menjaga imej sebagai Special Forces Operator’s yang profesional dan kompeten,
“Jagalah maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia yang mana akan merugikan segala pengorbanan saudara- saudara semua yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkannya,” tegas Panglima.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab mengingatkan peserta kursus agar maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia. Foto: AirTimes/N.Huda
Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan, warga Gerup Gerak Khas merupakan aset yang tidak ternilai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Janganlah leka dengan kejayaan pada hari ini. Kejayaan menamatkan kursus asas komando ini merupakan langkah yang pertama kehidupan sebagai anggota komando selepas ini,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Ketua Staf Am 21 GGK, Brigedier Jeneral Samsyawal Muhamad, Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abd. Mutalib, veteran GGK dan ahli keluarga penuntut kursus.-airtimes.my

Panglima GGK, barisan pegawai kanan dan veteran GGK bergambar bersama Penuntut Kursus Asas Komando siri AK/3/2024. Foto: AirTimes/N.Huda
