MARAKAH, 2 Jan – Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 terus mempamerkan komitmen dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan melaksanakan gotong-royong bersama penduduk tempatan di Malaysian Hall, bertempat di Municipality Building of Marakah, Lubnan.
Aktiviti yang berlangsung baru-baru ini bertujuan memulihkan keadaan bangunan yang terjejas akibat konflik yang melanda kawasan tersebut.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) memaklumkan, aktiviti tersebut melibatkan penyertaan seramai 22 anggota MALBATT 850-12, yang diketuai oleh Penolong Ketua Kompeni A, Kapten Muhammad Syukri Othman.
Penduduk tempatan turut berganding bahu dalam membersihkan dan memperbaiki bangunan berkenaan.
Menurut MK AB, program ini bukan sahaja untuk memperbaiki infrastruktur tetapi juga bertujuan memperkukuhkan hubungan antara anggota pengaman dan komuniti setempat melalui pendekatan Civil-Military Cooperation (CIMIC).
“Aktiviti ini bertujuan mengeratkan hubungan antara anggota pengaman dan komuniti setempat,
“Program ini juga mencerminkan komitmen MALBATT terhadap pemulihan infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat di kawasan operasi,” jelas MK AB dalam hantaran media sosialnya.
Malaysian Hall yang telah dirasmikan pada 15 November 2020 oleh Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM, ketika beliau menjawat jawatan Panglima Angkatan Bersama, menjadi simbol hubungan erat antara Malaysia dan komuniti Lubnan.
Bangunan ini menyediakan kemudahan bagi pelbagai aktiviti yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat sekitar.
Turut hadir, Mayor Marakah, Mr. Adel Saad, yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha pemulihan tersebut.
“Kehadiran beliau menyerlahkan kepentingan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan pasukan pengaman dalam memulihkan komuniti yang terjejas oleh konflik,
“Aktiviti seperti ini menonjolkan peranan penting MALBATT dalam membantu meringankan beban masyarakat tempatan, sejajar dengan aspirasi misi pengaman PBB,” tambah MK AB lagi.
Pasukan MALBATT terus komited memainkan peranan sebagai duta keamanan, memastikan hubungan diplomatik yang kukuh dan suasana yang lebih stabil bagi masyarakat di Lubnan.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #MALBATT #Lubnan #Malaysia