KUALA LUMPUR, 3 Jan – Kerajaan berjaya memperkasakan tatakelola sehingga tiada skandal salah guna kuasa atau rasuah besar dilaporkan sepanjang dua tahun pentadbiran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan MADANI yang dipimpinnya menjalankan proses tender secara telus, sekaligus mencerminkan komitmen terhadap integriti dan keadilan.
“Sementara kita tekankan soal tatakelola, yang saya anggap satu kejayaan, orang banyak bercerita mengenai kes lama dan saya nak sebut dalam tempoh 2 tahun ini, saya syukur kepada Allah kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu pun skandal besar yang pernah diungkapkan dalam tempoh 2 tahun ini,
“Bagi saya ini kejayaan yang lebih besar. Kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah, negara ini negara hukum (ada undang-undang) dan kita harus mengambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik dan MADANI ini menekankan soal nilai,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Dalam ucapan yang sama, beliau turut mengarahkan semua program dan projek asas untuk rakyat yang memerlukan seperti membasmi kemiskinan tegar serta tebatan banjir disegerakan.
Tegasnya, unjuran sesuatu projek yang mengambil masa begitu lama untuk disiapkan perlu dirombak semula dan diselesaikan dalam tempoh yang singkat sebaik mungkin.
“Saya setuju dalam perbincangan, kita harus rombak itu semua, kalau banjir itu mengorbankan nyawa, mengorbankan harta, tak perlu tunggu sehingga enam tahun (untuk siapkan projek tebatan),
“Jadi hal ini yang harus diteliti semua KSU (Ketua Setiausaha kementerian), kalau tidak, KSU baharu datang, kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir (sebagai contoh) Fasa 1 Rantau Panjang (Kelantan) dah siap, fasa kedua tahun 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#DSAI #anwar #Malaysia #tatakelola #airtimes #semasa