KUALA LUMPUR, 30 Dis – Pasukan sukarelawan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh telah digerakkan untuk membantu penduduk yang terkesan akibat banjir kilat di Taman Seri Alam susulan kejadian benteng takungan air pecah, petang semalam.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, berdasarkan maklumat, lebih 50 rumah terjejas akibat kejadian itu dan beliau telah mengarahkan pasukan sukarelawan terbabit untuk turun padang meninjau situasi serta membantu penduduk yang memerlukannya segera.
“Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan penduduk terjaga, dan langkah susulan diambil bagi mengelak kejadian sebegini berulang selepas perbincangan dengan pemimpin komuniti serta agensi berkaitan,
“Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang berkaitan atas tindakan pantas mereka dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk terjejas.
Semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 5.15 petang.-airtimes.my
#semasa #airtimes #bentengpecah #Malaysia