Home Pertahanan dan Keselamatan JSJ PDRM jalani latihan kental dengan 69 Komando

JSJ PDRM jalani latihan kental dengan 69 Komando

by Zaki Salleh

IPOH, 30 DIS – Lari daripada kelaziman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia tampil kelainan apabila kepimpinan kanan dalam jabatan tersebut memilih menjalani latihan lasak.

Bukan sebarangan pusat latihan, mereka sebaliknya merelakan diri untuk dilanyak di Pusat Latihan 69 Komando, Kem Sultan Nazrin Shah di Ulu Kinta.

Sebagaimana diketahui, JSJ umpama nadi dalam peranan utama kepolisan iaitu penyiasatan kes-kes jenayah serta menjalankan tangkapan dan pendakwaan pesalah-pesalah,

Mempunyai 15 bahagian dikenali sebagai D1 hingga D14 termasuk Bahagian Urusetia, JSJ mempunyai taring dan digeruni penjenayah.

Atas sebab itu juga, kepimpinan JSJ diketuai Pengarahnya, Komisioner Polis Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain bersama 12 pegawai kanan mengikuti latihan keras ini.

Diberi nama Program Pemimpin Masa Depan JSJ PDRM 2024, ia menjadi wahana penting dalam menyemai nilai-nilai luhur kepimpinan dan memupuk semangat kerja berpasukan.

Dengan tema ‘Memupuk Semangat Kepimpinan dan Kerjasama’, latihan berlangsung dari 16 hingga 28 Disember di sekitar Ulu Kinta dan di belantara Banjaran Titiwangsa.

Ini juga merupakan latihan atau program yang julung-julung kali diadakan.

Dibahagikan pada dua fasa iaitu lima hari pertama sebagai sesi pemanas, manakala hari seterusnya adalah fasa pendakian.

Antara latihan diikuti seperti latihan fizikal lasak, jasmani, kelas peta dan GPS, orienteering dan ikhtiar hidup di hutan.

Sepanjang latihan mereka dipandu oleh 20 pegawai dan jurulatih 69 Komando diketuai oleh Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim.

Kekentalan semangat dan fizikal para peserta wajar dipuji kerana kesemuanya berjaya melepasi latihan yang diberikan tanpa sebarang kecederaan.

Program ini mengajar peserta agar bersatu hati, kental, kerjasama, junjung dan patuh pada keputusan yang telah sama-sama disepakati.

Latihan ini antara lain menjadi platform untuk mengasah potensi setiap peserta, bukan sahaja dalam memimpin tetapi juga sebagai inspirasi buat warga pasukan.

Terdahulu, majlis penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bertempat di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta.

Timbalan Ketua Polis Negara seterusnya menyematkan lencana bahu Banjaran Titiwangsa Camaraderie (BTC) kepada semua peserta.

Dalam ucapannya, Ayob Khan berkata, program itu lebih daripada untuk membuktikan komitmen JSJ terhadap agenda pembangunan modal insa.

Ia menampilkan kesungguhan untuk memastikan PDRM kekal kompeten dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta yang berjaya menamatkan program ini dengan cemerlang.

Harapannya agar nilai-nilai kepimpinan, integriti dan semangat kerjasama yang dipupuk sepanjang tempoh program berlangsung akan terus diamalkan dalam setiap aspek penugasan di lapangan.-airtimes.my

#pdrm #Malaysia #JSJ #Polis #VAT69 #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?