BENTONG, 2 APR – Seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) disyaki bertindak agresif dengan mencederakan beberapa anggota lain dalam satu insiden di Kem Bentong, melibatkan pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) pada 30 Mac lalu.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek telah menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk anggota lain di bahagian muka serta perut.
Tindakan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap penugasan yang telah diarahkan kepada anggota-anggota tersebut.
Akibat kejadian tersebut, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD.
Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Bentong dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dengan bantuan alat pernafasan.
Dalam masa sama, enam lagi anggota turut mengalami kecederaan dan kesemua mereka telah menerima rawatan dan keadaan dilaporkan stabil serta masih dalam pemantauan pihak pasukan.
Susulan insiden itu, anggota PTTR yang disyaki terlibat telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan lanjut.
TDM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat. TDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang serta peraturan sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, TDM turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menghormati privasi mangsa dan keluarga mereka. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. –airtimes.my
