PUTRAJAYA, 3 APR– Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan perang bukan penyelesaian kepada sebarang konflik. Beliau menolak pembunuhan manusia sebagai jalan untuk menyelesaikan masalah antara negara.
Menurut beliau, masih terdapat kaedah lain yang lebih berkesan dan kurang membawa kematian dan kosnya jauh lebih rendah dalam menyelesaikan masalah.
“Manusia dikurniakan keupayaan untuk berfikir. Cara lain termasuk rundingan, timbang tara atau mahkamah undang-undang. Dengan keupayaan ini, manusia boleh mempertimbangkan kebaikan dan keburukan sesuatu penyelesaian,” jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa rundingan aman merupakan pendekatan terbaik dalam menangani konflik.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghentikan peperangan dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan di Asia Barat semakin memuncak susulan tindakan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran. Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan serantau serta keselamatan global. -airtimes.my
