PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah bagi sektor awam bermula 15 April 2026 sebagai langkah campur tangan proaktif untuk mengurangkan penggunaan bahan api domestik.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa keputusan tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memastikan kemampanan bekalan tenaga negara terjamin susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan global.
Pelaksanaan dasar baharu ini akan melibatkan semua kementerian, agensi, badan berkanun, serta syarikat berkaitan kerajaan.
“Kita harus terima kenyataan bahawa keadaan tidak seperti biasa. Kalau keadaan itu mencemaskan, maka kita juga mesti bertindak sesuai dengan tuntutan masa dan kita mesti ikut rancangan kita,” kata Perdana Menteri.
Bagi menampan impak krisis tenaga yang meruncing, beliau mendedahkan bahawa kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi tambahan yang sangat besar menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat.
“Berapa jumlah belanja untuk menyerap impak minyak yang meningkat ini? RM4 bilion satu bulan. Jadi ini bukan perkara kecil orang-orang yang menyinggung hal ini harus tahu bahawa kerajaan membantu rakyat tambahan RM4 bilion ringgit, ini untuk menahan,” jelas beliau dalam satu taklimat ringkas pada Rabu.
Selain dasar bekerja dari rumah, kerajaan turut menguatkuasakan penyelarasan kuota subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI MADANI kepada tahap 200 liter sebulan bermula hari ini sebagai langkah sementara. Pengisian diesel bersubsidi untuk wilayah Sabah, Sarawak, dan Labuan juga mula dikuatkuasakan.
Meskipun berdepan tekanan global, Perdana Menteri menegaskan bahawa kedudukan ekonomi negara yang relatif stabil membolehkan harga runcit petrol RON95 terus dikekalkan pada paras RM1.99 seliter.
Beliau turut memaklumkan bahawa perancangan strategik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berjaya menjamin bekalan minyak dan gas yang mencukupi untuk keperluan negara sekurang-kurangnya sehingga bulan Mei. – airtimes.my
