WASHINGTON, 31 MAC– Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan bersedia menamatkan konflik dengan Iran tanpa memberi keutamaan kepada pembukaan semula Selat Hormuz dalam masa terdekat.
Memetik laporan The Wall Street Journal, Trump dan barisan penasihatnya membuat penilaian bahawa operasi untuk membuka semula laluan air tersebut secara paksa akan mengheret konflik melampaui tempoh sasaran empat hingga enam minggu yang ditetapkan beliau.
Sebaliknya, Washington kini mengalihkan tumpuan untuk mencapai objektif utama iaitu melumpuhkan aset ketenteraan laut dan simpanan peluru berpandu Iran sebelum menghentikan permusuhan aktif. Langkah itu akan disusuli dengan tekanan diplomatik bagi mendesak Tehran memulihkan aliran perdagangan bebas di selat berkenaan.
Sekiranya diplomasi gagal, pegawai pentadbiran membayangkan Washington akan mendesak sekutu di Eropah dan negara Teluk untuk mengetuai operasi membuka semula selat tersebut di peringkat seterusnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt memaklumkan bahawa pentadbiran menyasarkan kempen ketenteraan ini tamat dalam tempoh dua minggu, dengan Trump mengharapkan satu perjanjian dicapai sebelum 6 April depan.
Walau bagaimanapun, ketegangan tetap memuncak selepas Trump mengancam untuk memusnahkan Pulau Kharg, yang merupakan hab minyak utama Iran, sekiranya rundingan gagal membuahkan hasil segera.
Sehingga kini, konflik yang bermula sejak serangan 28 Februari lalu telah mengorbankan lebih 1,340 nyawa termasuk bekas Pemimpin Tertinggi, Ali Khamenei.
Iran setakat ini telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas aset AS di Jordan, Iraq, dan beberapa negara Teluk, sekali gus mencetuskan gangguan besar kepada pasaran global dan sektor penerbangan.
Tehran pada 25 Mac lalu dilaporkan telah menolak cadangan gencatan senjata 30 hari yang dikemukakan AS, sebaliknya menuntut penghentian serta-merta operasi ketenteraan Israel-AS serta pengiktirafan kuasa penuh Iran ke atas Selat Hormuz sebagai syarat penamatan perang. – airtimes.my
