PUTRAJAYA, 29 MAC – Sebanyak 374 tan bantuan kemanusiaan Malaysia akan disalurkan kepada rakyat Gaza melalui pintu sempadan Rafah bermula April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui selepas beliau mengadakan interaksi bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bagi memohon kemudahan akses penyaluran bantuan berkenaan.
Menurut beliau, Presiden El-Sisi telah memberikan jaminan dan komitmen jelas untuk memastikan laluan di pintu sempadan Rafah dipermudah, sekali gus membolehkan bantuan segera disampaikan kepada lebih 100,000 penduduk di Gaza yang amat memerlukan.
“Malaysia tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang halangan, khususnya daripada rejim Zionis Israel yang terus merencatkan usaha kemanusiaan ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Tambah beliau, dalam keadaan dunia yang diuji dengan ketidakpedulian dan hipokrasi, Malaysia akan terus berdiri sebagai suara yang berprinsip dan bermaruah dalam mempertahankan hak golongan tertindas. -airtimes.my
